11 Pulau Cantik Wajib Teroka Di Mersing

Walaupun hanya sekadar pekan kecil, namun Mersing yang terletak kira-kira 136 km dari Johor Bahru, kini merupakan lubuk tumpuan para pelancong dan pencinta alam khususnya ke beberapa buah pulau di daerah ini. Pulau-pulau di negeri ini bukan sahaja memiliki pemandangan dan batu karang yang cantik, malahan mempunyai tarikan lain seperti membuat aktiviti fotografi, memancing, menyelam skuba, dan snorkeling.

Buat pencinta pantai dan pulau, kemaskan segera baju, beg dan peralatan penting anda. Cuti dah bermula. Jom kita teroka 11 lokasi pulau-pulau tercantik dan menarik di Mersing, Johor.

Pulau Rawa

Pulau kecil ini terletak kira-kira 16 km dari daratan Mersing. Walaupun dilitupi hutan tebal namun keunikannya bagi mereka yang mengimpikan percutian privasi, inilah lokasinya.

Tarikan utama pulau ini ialah di kelilingi air laut dalam yang cantik membiru, pesisiran pantai dengan pasir bersih yang memutih serta hidupan marin dan batuan karang yang cantik. 

Bagi mereka yang menggemari aktiviti hiking atau trekking, anda boleh mendaki 270 anak tangga untuk sampai ke puncaknya yang terletak di bahagian timur pulau. Puncak bukit merupakan lokasi terbaik yang perlu diterokai kerana anda bukan sahaja dapat melihat seluruh dataran pulau, malahan boleh menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam. Romantik, bukan?

Pulau Mensirip

Idamkan suasana seperti dalam filem Cast Away, terdampar di pulau terpencil dan privasi tanpa sebarang struktur binaan, boleh cuba ke Pulau Mensirip.

Dalam masa yang sama, keindahan air di sekitarnya yang jernih dan kaya dengan hidupan marin menjadikan ia lokasi kegemaran kaki snorkeling dan menyelam skuba. Sepertimana Pulau Rawa, Pulau Mensirip juga dilitupi oleh batuan dan hutan tebal.

Oleh kerana pulau ini merupakan pulau yang jauh dan terpencil, maka   sebelum ke sini pastikan anda membawa kelengkapan secukupnya dan dapatkan  kebenaran terlebih dahulu. Dimaklumkan juga bahawa pada September 2017, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah menurunkan replika tukun tiruan terbesar dan logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di pulau ini sebagai usaha menjaga dan memulihara hidupan marin dan terumbu karang.

Pulau Aur

Kedudukan Pulau Aur ini terletak 80 km dari Mersing dan pulau ini merupakan sebahagian dari Taman laut Johor. Ia semakin popular di kalangan pelancong kerana terdapat kolam semula jadi di luar pesisiran pantai ditambah pula dengan pantai yang cantik dan terumbu batu karang yang berwarna-warni.

Dari Pulau Aur, anda juga boleh ke Pulau Dayang. Kedua-dua pulau ini merupakan lokasi terbaik jika anda kaki skuba memandangkan air di sekitar pulau ini sangat jernih dan banyak spesis hidupan marin termasuk baracuda dan pari besar boleh dijumpai.

Namun, pastikan jika ingin ke sini sebaiknya datang pada bulan yang mempunyai cuaca dan angin monsun yang elok iaitu selain pada bulan Mei – September dan November – Mac. 

Pulau Dayang

Pulau Dayang teletak bersebelahan dengan Pulau Aur. Ia juga antara lokasi terbaik untuk melihat hidupan marin selain menikmati keindahan air laut yang jernih, bersih dan membiru. Pulau ini juga sempuna untuk anda relaks bercuti sambil melakukan aktiviti air.

Anda tidak perlu risau tentang tempat penginapan kerana di sini terdapat beberapa hotel dan resort. Bagi peminat penyelam skuba, pulau ini menjadi tempat laluan dan pembiakan ikan yu, paus dan juga pari.

Menariknya, di pulau ini juga ada menyediakan kursus menyelam untuk mereka yang baru dan berpengalaman. Sesi latihan menyelam ini biasanya dijalankan pada bulan Februari – November. 

Pulau Besar

Pernahkah anda menonton rancangan realiti televisyen ‘Expedition Robinson’? Inilah pulau yang memiliki syurga dunianya dengan pantai dan pelbagai spesies hidupan marin yang cantik, batuan karang yang mempesonakan, pasir memutih, resort yang selesa, apa lagi yang anda mahukan untuk menikmati percutian yang menyeronokkan.

Dahulunya Pulau Besar ini dikenali dengan nama Pulau Babi Besar. Hal ini kerana dipercayai terdapat banyak babi hutan di sini, namun kini hidupan tersebut telah menghilang.

Untuk ke pulau ini, anda boleh menaiki bot selama 30 minit dari jeti Mersing. Buat peminat trekking dan hiking, cubalah ke sini kerana keadaan bentuk muka bumi pulaunya yang berbukit dan agak curam.

Pulau Tengah

Pulau Tengah juga merupakan pulau privasi yang tidak asing bagi kaki melancong. Pulau indah ini terletak 15 km dari jeti Mersing. Dahulunya, pulau ini terkenal kerana pernah menjadi tempat berlindung orang pelarian Vietnam pada sekitar tahun 70-an dan telah ditutup pada tahun 80-an.

Pulau Tengah antara pulau popular yang digazetkan sebagai Taman Laut Johor kerana mempunyai kepelbagaian hidupan marin dan terumbu karang yang cantik. Pulau ini lebih popular berbanding pulau lain di Johor.

Pulau Pemanggil

Jarak pulau ini kira-kira 45 km dari Mersing dan perjalananya mengambil masa yang agak lama. Seperti pulau cantik yang lain, pulau ini juga mempunyai air dan pantai yang mempesonakan.

Dikisahkan nama pulau ini digelat Pulau Pemanggil kerana dipercayai seorang lelaki Indonesia dan keluarganya belayar berhampiran pulau ini. Kemudian, pada malamnya lelaki ini telah bermimpi ada suara yang memanggil mereka untuk menghuni pulau ini. Sehingga kini, pulau ini semakin ramai didiami oleh orang dari Indonesia dan Pulau Aur.

Buat kaki pancing pula, jangan lepaskan peluang untuk memancing kerana di sini merupakan lubuk pelbagai spesis ikan yang jarang ditemui. Pastikan juga jika ingin menginap di pulau ini, buatlah tempahan awal kerana hanya terdapat Lanting Beach Resort di sini.

Pulau Tinggi

Pulau Tinggi dikenali juga dengan nama Pulau Topi Jeneral. Lokasi pulau ini terletak 32 km jauh dan mengambil masa selama 45 minit perjalanan dari jeti Mersing.

Pulau ini sering menjadi tempat persinggahan para pedagang dan nelayan. Pulau ini juga mempunyai pantai yang putih bersih, bukit-bukau yang tinggi dan hutan yang tebal, serta menjadi pusat hidupan marin seperti pusat penetasan penyu dan penternakan kerang gergasi. Selain itu, pulau ini juga mempunyai perkampungan nelayan dan resort moden.

Pulau Sibu

Pulau Sibu adalah sebahagian daripada gugusan pulau-pulau yang lain iaitu Pulau Sibu Hujung, Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Kukus dan Pulau Sibu Tengah. Pulau ini juga pernah menjadi lokasi rakaman dalam rancangan televisyen ‘Expedition Robinson’.

Walaupun keluasan pulau ini kurang dari 1 km dan tiada laluan jalan raya bertar, namun tidak sukar bagi anda mendapatkan kemudahan di sini kerana pulau ini telah dijadikan penempatan penduduk kampung yang majoritinya menggunakan kuasa solar.

Di sebelah timur pulau terdapat 4 lagi pantai utama dengan permukaan pantainya yang putih bersih dan air yang sangat jernih serta pemandangan laut yang memukau, manakala di sebelah selatan pantai terdapat tumbuhan pokok-pokok bakau dan kawasan yang terlindung dari angin, menjadikan air pantainya seperti di tasik dan menjadi lubuk mandi yang menyeronokkan.

Untuk sampai ke Pulau Sibu ini, anda perlu menaiki bot dari jeti Tanjong Leman.

Pulau Harimau

Pulau ini tidak berpenghuni. Rupa muka bumi pulau ini seolah anda berada di luar negara. Terdapat rumah api di puncak bukit dan dibuka kepada pelawat.

Ia juga boleh diakses dari jeti Mersing. Ramai datang ke sini untuk selam skuba dan snorkeling.Pulau ini mempunyai gua ringkas dan mempunyai kolam lagun yang cantik. Pulau ini dipercayai lokasi singgah berteduh bagi lanun waktu dahulu. Terbaru, pulau ini tidak boleh diakses.

Pulau Kukup

Pulau Kukup tidak seperti pulau-pulau lain yang memiliki laut dan terumbu karang yang cantik serta pelbagai spesies hidupan marin. Pulau ini merupakan pulau paya bakau dan dipenuhi hutan yang masih kekal terpelihara ekosistemnya.

Pulau Kukup memiliki kawasan paya bakau yang berkeluasan 647 hektar menjadikan ia kawasan paya bakau yang terbesar di Malaysia menjadikan ia sebagai ‘Tanah Lembap Berkepentingan’.

Jika ke sini, jangan lepaskan peluang menaiki bot untuk menikmati pemandangan hutan paya bakau dan menyelusuri sungai-sungai sambil melihat habitat pelbagai hidupan liar dan unggas.