Menu Malaysia Di Ginza, Jepun

Daerah Ginza, Jepun merupakan kawasan yang terkenal dengan kemewahannya; tempat-tempat yang mengikut trend, restoran mewah, kedai serbaneka, pub Jepun dan butik mewah. Namun di tengah-tengah kawasan ini wujudnya sebuah restoran yang menjadi tumpuan hampir setiap pemimpin Malaysia yang datang ke negara maju tersebut.

Terletak di Ginza Morita Building, Restoran Rasa Malaysia ini mampu memberikan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Jepun ini terasa seperti berada di rumah sendiri. Layanan mesra daripada para pekerja menyebabkan rakyat Malaysia datang ke sini berkali-kali!

Rasa Malaysia di Ginza, Jepun
Sumber: Little Slices

Pernah juga menerima kunjungan personaliti terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Lee Chong Wei, Restoran Rasa Malaysia ini merupakan penyelesaian buat rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran mencari makanan halal di Jepun. Turut menjadi pilihan Dr Mahathir yang berkunjung ke Jepun baru-baru ini, pemilik restoran merasakan kehadiran Perdana Menteri Malaysia tersebut sebagai satu penghormatan kepada mereka.

Merupakan lawatan kali ketiga beliau ke restoran ini, pemilik restoran, Datuk Seri Tam Yun Tong turut menyediakan sebuah kek untuk meraikan kejayaan Dr Mahathir yang menerima anugerah tertinggi di Jepun iaitu Darjah Kebesaran ‘Grand Cordon of The Order of The Paulownia Flowers’ oleh Maharaja Akihito. Hidangan yang menjadi pilihan Dr Mahathir ialah Daging Lada Hitam Sarawak, Sate dan Char Koay Teow.

Rasa Malaysia di Ginza, Jepun
Sumber: Berita Harian

Tam yang sudah tinggal lebih 30 tahun di Jepun, masih berbangga menjadi warganegara Malaysia dan gembira dapat menjalankan tugas sebagai duta tidak rasmi yang mempromosikan Malaysia sebagai tempat pelancongan kepada warga Jepun. Berasal daripada negeri Kedah, beliau pada mulanya datang ke Jepun sebagai seorang pelajar telah membuka restorannya pada tahun 1991 kerana merindui masakan ibunya.

Fokus pembukaan restoran ini ialah untuk menyediakan makanan buat rakyat Malaysia di Jepun yang merindui masakan ibu mereka. Selain daripada itu, beliau juga menyediakan peluang untuk orang Jepun menikmati aroma aneka masakan Malaysia setiap kali mereka berkunjung ke sini.

Antara hidangan yang terkenal ialah menu Baba Nyonya yang pedas kerana diadun daripada rempah-rempah Melayu serta santan, serai, cili dan sambal. Dengan bantuan isterinya, Tam mendapatkan bekalan bahan-bahan masakan asli daripada Malaysia.

https://www.youtube.com/watch?v=dBq8D0etW0w

Bukan sahaja menyediakan juadah Malaysia seperti nasi lemak, nasi goreng, sup tom yam dan mi Hokkien, tetapi Tam juga menyediakan sambutan Hari Raya dan Tahun Baru Cina dengan mengadakan rumah terbuka setiap tahun tanpa gagal!

Buat mereka yang berada di Jepun atau bakal melancong ke Jepun, anda bolehlah singgah ke restoran ini untuk merasai makanan Malaysia di bumi Matahari terbit ini.

Lokasi: Rasa Malaysia Cuisine Ginza is located at Ginza Morita Building 5F 3-3-6 Ginza Chuo-ku Tokyo, Japan.

Sebarang pertanyaan bolehlah anda emelkan ke Facebook Rasa Malaysia Ginza.

Sumber: The Star Online