
Kegembiraan satu keluarga makan malam bersama di Taman Equine, Serdang berakhir dengan tragedi apabila salah seorang anggota keluarga itu maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan premis makanan.
Mangsa yang maut merupakan seorang wanita berusia 57 tahun, manakala empat yang lainnya mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Serdang berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut enggan berhenti malah melangar beberapa pelanggan lain yang sedang menjamu selera selain melanggar lagi tiga kenderaan. Pemandu tersebut sempat melarikan diri dari lokasi kejadian.
Namun, difahamkan kenderaan itu ditinggalkan suspek di Taman Universiti Indah kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian sebelum ditemukan orang ramai yang melalui kawasan tersebut sekitar 12 tengah malam pada malam kejadian yang sama.
Pihak polis berjaya menjejaki suspek pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang melarikan diri selepas kejadian kira-kira pada pukul 1.43 pagi. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang.
Kejadian berlaku di kawasan parkir di hadapan premis makanan yang diletakkan kerusi dan meja makan untuk pelanggan. Jika diteliti sebenarnya ia amat berisiko membuka kedai makan di kawasan yang berdekatan dengan kenderaan lalu lintas lebih-lebih lagi di tepi jalan dan kawasan parkir.
Banyak premis makanan yang membuka warung di tepi jalan tanpa mengambil risiko keselamatan. Melihat pada itu, pihak berkuasa juga perlu menyiasat adakah relevan untuk membuka premis makanan di kawasan tersebut.

Walaupun pemandu kenderaan itu bersalah kerana kecuaian memandu yang mengakibatkan kematian, pihak premis makanan juga perlu bertanggungjawab atas keselamtan pelanggan kerana meletakkan meja makan di kawasan parkir itu.
Pihak majlis perbandaran perlu meneliti dan menyelesaikan insiden yang berlaku pada masa hadapan. Orang ramai juga perlu peka dan prihatin tentang keselamatan diri mencari premis makanan yang mempunyai keselamatan terjamin.
Sumber: Utusan Online