Bas Ekspres Dan CCTV, Langkah Kurangkan Nahas Maut

Pada Februari 2017, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memperkenalkan Makmal Transformasi Industri Bas Ekspres bagi menyelesaikan isu yang berkaitan dengan industri perkhidmatan bas. Makmal ini ditubuhkan dengan melihat kepada statistik kemalangan jalan raya yang semakin meningkat naik terutamanya yang melibatkan bas selain daripada menambah baik perkhidmatan kenderaan jenis ini.

BACA: Hempuk Pemandu Bas Punca 15 Orang Terbunuh

Pada November 2018, Menteri Pengangkutan telah menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia dengan melihat isu yang sama; tiada penurunan kadar kemalangan jalan raya melibatkan bas. Beliau turut mencadangkan agar pemasangan tali pinggang keselamatan, kamera litar tertutup dan sistem brek yang mengawal had kelajuan adalah wajib dalam setiap bas ekspres.

CCTV Bas Ekspres
Sumber: Bas Persiaran Online

Bas baru yang diperkenalkan dalam industri perkhidmatan kenderaan ini sudah dilengkapi dengan sistem keselamatan tersebut. Namun yang menjadi masalah adalah kepada bas lama kerana sistem mereka yang belum dilengkapi dengan teknologi tekini.

Sebenarnya, isu pemasangan kamera litar tertutup ini sudah lama diajukan oleh bekas Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar pada tahun 2013 dan 2016. Dan akhirnya kini diajukan sekali lagi oleh Menteri Pengangkutan yang baru dan dikuatkuasa bermula 2019.

Perubahan sistem demi meningkatkan lagi tahap keselamatan industri bas ini memang bagus, namun isu baharu timbul buat pengusaha bas iaitu kos pemasangan yang tinggi; sekurang-kurangnya RM3,000. Sedangkan kos perkhidmatan dan penyelenggaraan bas yang perlu mereka tampung sudah cukup tinggi buat masa sekarang (semuanya ditanggung oleh pengusaha).

Sistem keselamatan ini memanglah langkah yang wajar diperkenalkan supaya kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan perkhidmatan bas ekspres dapat dikurangkan. Namun dengan peningkatan sistem keselamatan ini pada setiap bas, mungkinkah akan berlaku lagi kenaikan pada harga tiket?

Apa kata anda?

Sumber: Bernama