
Susulan daripada tragedi makan malam yang berlaku di Seri Kembangan, Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa agensi berkaitan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memperkenalkan dasar untuk mengawal keselamatan orang awam ketika makan di jalan-jalan awam.
BACA: Makan Malam Bersama Keluarga Bertukar Tragedi
Cadangan ini diperkenalkan apabila tragedi tersebut telah menyebabkan seorang wanita maut manakala empat yang lain cedera ketika sedang menjamu selera di kawasan meja yang diletakkan berhampiran sisi jalan. Kejadian yang melibatkan maut ini bukanlah yang pertama; Jun 2003 sebuah kereta merempuh pelanggan di luar restoran mamak 24 jam.
Isu keselamatan ini timbul apabila PBT tidak tegas dalam menjalankan penguatkuasaan walaupun selepas peristiwa pada Jun 2003 tersebut mereka mengisytiharkan semua kedai makan (termasuk restoran dan gerai mamak) diharamkan untuk meletakkan meja dan kerusi di luar premis mereka.

Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik premis bukan sahaja akan membahayakan keselamatan pelanggan, tetapi juga menyusahkan orang awam yang menggunakan laluan pejalan kaki terutamanya bagi mereka yang kurang upaya. Lee turut menyentuh mengenai perlunya tindakan tegas diambil kepada pemandu yang mengamalkan pemanduan tidak selamat sehingga boleh menyebabkan kematian orang yang tidak bersalah.
Isu keselamatan ini sepatutnya tidak diletakkan 100% kepada pihak berkuasa sahaja. tetapi perlunya kerjasama daripada semua pihak iaitu pemilik premis (tidak meletakkan kerusi atau meja di luar kawasan kedai), pelanggan (memberikan kerjasama untuk menjamu selera di dalam kawasan premis) dan pemandu (memandu secara berhemah).
Sumber: Astro Awani