
Anda pernah alami keinginan yang secara tiba-tiba mahukan makanan yang manis? Sehingga terbayangkan menu-menu manis dalam kepala yang boleh buat air liur meleleh tanpa sedar? Memang melampau betul.
Keinginan makan manis ini bukanlah hanya sekadar nafsu makan sahaja. Tetapi sebenarnya ini merupakan signal daripada tubuh anda bahawa ianya kekurangan vitamin dan mineral yang tertentu.

Keinginan untuk makan manis yang boleh didapati daripada hidangan biskut, kek dan coklat menandakan bahawa tubuh anda sudah penat. Ketika dalam keadaan penat, tubuh akan kekurangan magnesium dan vitamin B untuk meningkatkan kembali mood dan tenaga anda.
Di sini kami akan kongsikan beberapa cara untuk melawan keinginan anda dengan cara yang lebih sihat yang dikongsikan oleh Dr Steven Lin, seorang doktor gigi di Australia:
1. 1 sudu makan minyak kepala
Kandungan rantaian trigliserida (triglycerides) yang boleh didapati dalam minyak kelapa ini akan menyerap dengan kadar cepat ke dalam salur darah dan membantu mengurangkan keinginan anda untuk makan manis. Rantaian yang terhasil daripada proses pencernaan makanan ini diperlukan oleh tubuh ketika kekurangan tenaga.
2. 1 sudu makan kobis jeruk atau sauerkraut
Merupakan makanan popular rakyat Jerman, kobis jeruk seringkali digunakan sebagai pembuka selera kepada pelbagai makanan. Kandungan vitamin B yang boleh didapati dalam menu kobis jeruk ini mampu menampung keinginan manis yang tubuh perlukan ketika letih.

3. 1 sudu makan mentega cair
Kandungan lemak di dalam mentega membantu anda merasa puas walaupun tanpa makan hidangan manis! Kandungan mineral, kalsium dan fosfor yang diperlukan tubuh bukan sahaja boleh menjaga kesihatan tulang dan gigi tetapi juga membantu dalam proses pencernaan tubuh.
4. 1 genggam kacang Brazil
Bukan sekadar boleh menghilangkan keinginan manis dengan kandungan seleniumnya, kacang Brazil ini juga boleh mencegah kanser, menyihatkan jantung dan melancarkan aliran darah. Namun perlulah diingatkan bahawa kacang ini tidak boleh diambil secara berlebihan kerana ianya akan bertukar menjadi racun kepada tubuh!

Selain daripada cara di atas, anda juga boleh cuba makan 1 genggam kerepek kelapa (coconut chip), mandi, bersenam, minum air teh hijau atau pudina dan melakukan latihan pernafasan yang berkala.
Mudah, bukan? Selepas ini jika timbul lagi keinginan untuk makan benda-benda manis, anda boleh amalkan seperti di atas.
Mari tukarkan keinginan manis anda kepada pemakanan yang lebih sihat!
Sumber: Experience Life