Hari Terakhir Bekerja Juruterbang Buat Hal

Keseronokan rakan sekerja meraikan hari terakhir seorang juruterbang bertukar menjadi tragedi apabila kapal terbang yang dibawa beliau melanggar hos air dua kereta bomba di lapangan. Pesawat penumpang yang berlepas daripada Madrid kemudian mendarat di Ezeiza, Buenos Aires itu mengalami kerosakan di bahagian sayap.

Sudah menjadi tradisi, setiap juruterbang yang akan bersara akan diraikan dengan semburan air ketika penerbangan terakhir oleh kereta bomba. Semburan air di udara akan dimulakan ketika pesawat sudah selamat mendarat dan bergerak perlahan menuju ke terminal.

Namun ketika melalui kereta bomba, sayap pesawat jenis Airbus 340-313 ini terlanggar hos bomba yang sedang menyembur air. Kumpulan Siasatan Kemalangan Penerbangan Awam melaporkan bahawa anak kapal kesemuanya berada dalam keadaan selamat dan kerosakan yang dialami pesawat tidak serius.

Pihak syarikat penerbangan juga sedang menyiasat sama ada kejadian ini berlaku disebabkan oleh kesilapan juruterbang atau pihak bomba dan pesawat tidak dibenarkan untuk terbang buat sementara waktu untuk dibaiki.

Sebenarnya tradisi ‘Water Salute‘ ini bukanlah sesuatu yang baru dalam kawasan lapangan terbang dan merupakan tanda penghormatan dan penghargaan. Upacara ini kebiasaannya digunakan ketika meraikan para veteran ketenteraan, pegawai asing (foreign dignitaries) dan perkhidmatan penerbangan baru.

Tradisi meraikan pesaraan di tempat anda pula bagaimana?

Sumber: Harian Metro