
Diet ketogenik atau diet keto merupakan diet yang paling mudah diamalkan untuk menurunkan berat badan dengan cepat. Menggantikan pengambilan karbohidrat dengan protein dan lemak, diet ini sebenarnya tidak patut diamalkan kerana memberi bahaya kepada tubuh badan dalam jangka masa yang panjang.
Walaupun begitu, ramai masih mengamalkannya kerana mahukan kesan penurunan berat yang cepat tanpa memikirkan implikasi daripada perbuatan ini. Pakar nutrisi daripada Hospital University of Pennsylvania RD, Melissa Bailey menyenaraikan beberapa sebab mengapa diet keto ini berbahaya kepada pengamalnya:
1. Pengambilan lemak tepu yang lebih banyak daripada karbohidrat
Pengamal diet keto ini terpaksa mengambil karbohidrat sebanyak 20 hingga 50 gram sahaja dan meningkatkan kadar pengambilan protein serta lemak lebih daripada kebiasaan. Amalan ini akan menyebabkan para pengamal menghidap penyakit jantung koronari yang mana oksigen tidak dapat dibekalkan kepada organ ini disebabkan oleh lemak yang terkumpul di pembuluh darah.
2. Kehilangan nutrisi penting
Pengamal diet keto ini bakal berdepan dengan masalah kekurangan mikronutrisi tertentu sekiranya mereka berhenti mengambil karbohidrat seperti susu dan bijirin. Ini kerana 2 produk makanan tersebut membekalkan sumber kalsium yang tinggi selain daripada sumber makanan seperti roti dan bijirin yang kaya dengan zat besi serta magnesium.
3. Kekurangan air
Diet keto menyebabkan kurangnya kandungan air dalam badan pengamalnya, dan ini merupakan sebab utama berat badan turun secara mendadak dalam masa yang singkat. Umum sedia maklum, kekurangan air akan menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah berkaitan dengan sistem penghadaman seperti sembelit, cirit birit dan pedih hulu hati. Pada awal pengamalan diet ini, pengamalnya akan berdepan dengan beberapa kondisi ‘keto flu‘ seperti sakit kepala dan mual.

4. Penggunaan pemanis tiruan
Diet keto menggunakan pemanis ‘maltitol‘ yang apabila diambil dengan jumlah yang tinggi akan menyebabkan cirit birit dan kembung perut. Kesan jangka panjang pengambilan pemanis tiruan ini boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang!
5. Penyusutan otot
Karbohidrat penting untuk membentuk otot, namun dengan amalan diet ini yang mementingkan protein dan lemak akan menyebabkan otot menjadi rosak. Perkara ini akhirnya menyebabkan berlakunya ketidak seimbangan tubuh; kaki tidak mampu menampung berat badan dan senang untuk individu menjadi lelah.
6. Masalah penghadaman
Pengamal diet ini akan menghadapi masalah penghadaman kerana kekurangan serat daripada buah, sayuran dan bijian yang akan membawa kepada masalah pencernaan. Antara simptom yang dihadapi ialah kembung perut, sembelit dan cirit birit akibat daripada pengambilan lemak yang berlebihan dalam diet ini.
Diet keto ini memang boleh memberikan kesan penurunan berat badan dalam masa yang singkat, namun berbaloikah amalan pemakanan ini sekiranya ia membawa mudarat kepada diri dalam jangka masa panjang?
Tepuk dada, tanya diri.
Sumber: Free Malaysia Today