Mari Selami Kisah Disebalik Keindahan Taman Negara

Taman Negara merupakan hutan simpan terbesar di semenanjung Malaysia. Berada di hutan ini pasti membuatkan pelancong terpukau dengan keindahan panorama yang disajikan dan tarikan alam flora dan fauna yang berusia lebih 150 juta tahun. Sungguh, apa yang ditawarkan oleh khazanah yang ada di Taman Negara cukup istimewa.

Disebalik keindahan taman negara ini, ia telah dijaga oleh orang Asli dari suku kaum Bateq.

kaum bateq taman negara
Sumber: Anthropological Notebook

Wakil Kelab Pencinta Burung Taman Negara Jerantut Pahang (BirdGroup Taman Negara) Abdul Jalil berkata suku kaum Bateq adalah sebahagian daripada ekosistem Taman Negara kerana mereka masih bergantung kepada hutan untuk menjalani kehidupan seharian.

Disifatkan sebagai kaum yang jujur dan mudah bergaul, mereka juga tahu selok-belok kawasan Taman Negara. Mereka juga membantu Taman Negara memberikan maklumat tentang aktiviti pemburuan haram di taman itu kepada PERHILITAN.

Kini ramai suku kaum Bateq melibatkan diri dalam aktiviti pelancongan yang mana sebahagian mereka bekerja sebagai pembawa bot dan pemandu pelancong. Kebanyakan suku kaum Bateq sangat pemalu dan tidak banyak bercakap dengan orang luar kecuali Tok Batin mereka yang sering berhubung dengan dunia luar.

Suku kaum Bateq ialah salah satu etnik daripada 18 sub-etnik orang Asli di negara ini dan merupakan sebahagian daripada kumpulan kecil Negrito. Mengikut anggaran, kira-kira 2000 orang Bateq di Malaysia yang kebanyakannya ditemui di Taman Negara dan sekitarnya.

kaum bateq taman negara
Sumber: Backpacking Malaysia

Penempatan orang Bateq di Kampung Aur terletak di sepanjang Sungai Tembeling dari Kuala Tahan, kira-kira satu jam untuk meredah sungai ke kampung tersebut. Dahulu suku kaum ini mempunyai pegangan hidup dan kepercayaan animisme tetapi kini ramai yang telah menganut agama Islam, Buddha atau sebagainya.

Kediaman tempat berlindung mereka diperbuat daripada buluh dan daun palma untuk berteduh daripada hujan lebat. Tiada bilik dan hanya pondok sederhana bertemankan pengecas lampu solar mudah alih yang disumbangkan oleh badan NGO.

Pendapatan mereka hasil daripada menjual madu, kayu cendana dan rotan yang mereka mencarinya di dalam hutan. Suku kaum Bateq masih mempraktikkan kehidupan nomad walaupun sudah menjadikan penempatan di sana selama 18 tahun. Mereka biasanya akan berpindah apabila berlaku kematian atau kekurangan sumber makanan.

Akibat kesan daripada pembalakan, orang Bateq mampu berharap kehidupan yang lebih baik melalui pemeliharaan hutan di Taman Negara itu. Sejak tahun lepas, penempatan mereka diberi kunjungan orang luar untuk melihat kehidupan orang Bateq.

Kawasan tumpuan pelancongan ini dikenali sebagai projek Bateq Jungle Hut, sedikit sebanyak membantu mereka mendapatkan pendapatan tambahan untuk kos sara hidup mereka. Pengunjug boleh melihat gaya hidup orang Bateq dan menonton demonstrasi menghasilkan api dan menyumpit.

Kebaikan projek ini, ia membuatkan suku kaum Bateq tidak lupa dengan adat resam mereka. Buat masa ini, projek Bateq Jungle Hut dikelolakan oleh badan NGO BirdGroup namun mereka mahu orang Bateq mengambil alih projek ini keseluruhannya.

kaum bateq taman negara
Sumber: Taman Negara Adventure Team Building

Walaupun fasiliti yang ada cukup daif pada pandangan kita, namun dari segi pengalaman dan keharmonian mereka boleh dikatakan bertaraf lima bintang. Suku kaum Bateq mempunyai peranan khas dan unik kepada Taman Negara. Merekalah penduduk paling lama sebelum kewujudan Taman Negara.

Dengan kerjasam orang Bateq, mereka diintegrasikan dalam aktiviti eko-pelancongan di Malaysia. Kaum Bateq merupakan salah satu keunikan produk pelancongan berasaskan budaya di Taman Negara.

Jika anda ke Taman Negara, jangan lupa sertai projek Bateq Jungle Hut untuk merasai pengalaman bermalam di perkampungan tradisi orang Asli.

Sumber: Star 2