Pembinaan Lapangan Terbang Tioman Tidak Ganggu Persekitaran

Dikenali sebagai Taman Laut, Pulau Tioman adalah pulau terbesar di dalam gugusan 9 pulau yang lain. Aktiviti ekonomi utama kawasan yang didominasi oleh bongkah granit yang tinggi ini ialah pelancongan yang bertumpu di bahagian barat pulau.

Permohonan yang diajukan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan pada Jun 2018 sedang menanti kelulusan Pusat pada 23 November 2018. Menurut Vincent pembinaan landasan tersebut akan menggunakan perbelanjaan sendiri (pinjaman bank dan rakan kongsi) sekitar RM1.1 bilion hingga RM1.2 bilion.

Lapangan terbang Tioman ini pernah dicadangkan pembinaannya pada 2003, namun dibatalkan sekitar 2009 atas alasan kebimbangan kerosakan yang akan berlaku pada alam sekitar. Pada 23 November, akhbar Sinar Harian melaporkan pembinaan sedang menunggu untuk diluluskan kerana proses ini bukan hanya tertakluk kepada kelulusan kerajaan pusat tetapi juga beberapa perkara lain seperti Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 2015.

Lapangan Terbang Tioman
Sumber: Swiss Cottage Tioman

Namun perkara ini telah diberikan jaminan oleh Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail bahawa kerajaan negeri dan persekutuan akan memantau proses pembinaan lapangan terbang Tioman dengan bantuan daripada sekurangnya 7 jabatan kerajaan iaitu Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Taman Laut, Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan, PLANMalaysia, Badan Kawalselia Air (BKSA), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.

Menyentuh isu pembalakan haram di kawasan tinggi pula, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang memandang serius perkara terbabit daripada zaman pentadbiran bekas Menteri Besar Pahang yang terdahulu iaitu Adnan Yaakob. Antara usaha kerajaan ialah dengan menempatkan anggota tentera, Pasukan Gerakan Am dan agensi tempatan yang lain bagi memantau aktiviti haram termasuklah cuti umum.

Jika lapangan terbang Tioman sudah diluluskan, diharapkan benarlah tiada kerosakan yang akan berlaku pada alam sekitar seperti yang dijanjikan pada awal kelulusan ini. Hal ini demikian kerana, Pulau Tioman merupakan salah satu pulau terkenal di Malaysia yang menerima kunjungan pelancong tidak kira dari dalam atau pun luar dan menjadi salah satu punca pendapatan kepada negara.

Sumber: MalaysiaKini