‘Tak Buat Bantahan Hingga 1 Januari’, Janji Pemandu Teksi

Semua pemandu teksi Big Blue Taxi Service Sdn Bhd berjanji untuk tidak akan melakukan protes sehingga 1 Januari 2019. Mereka memegang janji Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang tidak akan mengecualikan pemandu seru pandu (e-hailing) untuk membuat pendaftaran lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) sama seperti pemandu teksi pada awal tahun depan.

BACA: Kerajaan Tidak Akan Haram Grab

Perjanjian antara pihak Big Blue Taxi Service Sdn Bhd dan Menteri Pengangkutan yang berlangsung selama 45 minit itu memberikan khabar baik kepada semua pemandu teksi berhubung isu ‘gangguan’ periuk nasi mereka. Anthony turut memaklumkan kepada pemandu dan pemilik teksi eksekutif untuk memberikan beliau bukti yang menyatakan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mahu untuk memperbaharui permit mereka untuk pihaknya teliti dengan lebih lanjut.

Sebelum ini, terlalu banyak tunjuk perasaan yang dibuat melibatkan pemandu teksi untuk membantah perkhidmatan seru pandu. Bukan hanya berlaku di Malaysia, tunjuk perasaan ini turut dilakukan oleh pemandu teksi yang berada di luar negara seperti Indonesia dan Singapura.

Rakyat Malaysia lebih memilih untuk menggunakan perkhidmatan seru pandu ini untuk dijadikan sebagai khidmat pengangkutan atas beberapa sebab antaranya tambang yang jauh lebih murah, isu tidak ditipu dan dipermainkan oleh pemandu teksi selain daripada boleh mendapatkan ganjaran melalui penggunaan aplikasi e-hailing tersebut.

Sumber: Sinar Harian