Juruterbang Tertidur Punca Terlepas Destinasi

Sebuah pesawat tersasar lebih kurang 50 kilometer daripada lokasi lapangan sebenar di sebuah pulau Australia adalah berpunca daripada juruterbangnya yang tertidur ketika bertugas. Pesawat yang berlepas daripada Bandar Devonport, Tasmania ke King Island, Bass Strait itu diletakkan dalam mod auto-pilot dan terbang secara automatik dilaporkan selamat tiba ke destinasinya di King Island walaupun sudah terlewat daripada waktu perjalanan asal.

Juruterbang Tertidur

Rakaman daripada kawalan trafik udara mendapati bahawa beberapa panggilan yang dibuat tidak mendapat maklum balas daripada juruterbang tersebut. Juruterbang yang belum dapat dikenal pasti identitinya ini memberikan alasan bahawa beliau ‘tidak sengaja’ melakukan perkara tersebut.

Bahagian penyiasat Biro Keselamatan Pengangkutan Australia dan pegawai selia industri penerbangan daripada Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam sedang menyiasat kejadian tersebut yang dilabelkan sebagai ‘peristiwa operasi yang serius’. Pihak syarikat turut disoal siasat mengenai cara mereka mengendalikan status ‘letih’ juruterbang.

Hasil temu duga dengan juruterbang tersebut mendapati, penerbangan ini merupakan yang pertama selepas beliau balik daripada bercuti. Malam sebelum bertugas, beliau mengalami krisis peribadi yang menyebabkan waktu tidurnya terganggu dan ini berkemungkinan menjadi punca kepada status ‘letih’nya.

Sepatutnya, juruterbang perlu tahu tahap kondisi badan mereka sebelum memulakan tugas dalam perkhidmatan udara. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab dalam memastikan pesawat tiba di destinasi yang dituju, tetapi juga keselamatan seluruh anak kapal dan penumpang yang berada di dalam pesawat.

Sumber: NBC News