Pasar Malam Terengganu Mahu Rehat Solat Maghrib

Umum sedia maklum, tempoh waktu untuk menunaikan solat Maghrib adalah singkat jika dibandingkan dengan yang lain. Sering kali para peniaga terutamanya pasar malam menghadapi kesulitan kerana pada waktu-waktu sebegini merupakan kemuncak kehadiran pelanggan.

Oleh itu, kerajaan negeri Terengganu mengambil inisiatif dengan bercadang untuk memperluaskan kempen berhenti rehat untuk menunaikan solat Maghrib selama 15 minit. Buat masa sekarang pelaksanaan perkara ini hanya dilaksanakan di Medan Selera Jerteh. Kempen rehat 5 minit sebelum dan 10 minit selepas azan Maghrib ini bertujuan untuk memastikan kewajipan sebagai umat Islam ini dapat ditunaikan oleh semua peniaga pasar malam Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, pelaksanaan di lain-lain tempat hanya akan dibuat selepas kemudahan asas seperti surau dan tempat wuduk disediakan di kawasan pasar malam Terengganu. Kempen ini pada awalnya dibantah sesetengah peniaga namun selepas dilaksanakan, peniaga tetap mematuhinya.

Pasar Malam Terengganu
Sumber: Go Cheras

Menurut beliau lagi, perbincangan lanjut akan dijalankan bersama semua pihak termasuklah persatuan penjaja di daerah dan pihak berkuasa tempat bagi memastikan pelaksanaannya secara menyeluruh. Inisiatif ini bukan bertujuan untuk membebankan rakyat, tetapi memastikan tiang agama ini dilaksanakan walupun sibuk bekerja.

Kempen penutupan gerai untuk menunaikan solat Maghrib ini sepatutnya turut dikuat kuasakan di seluruh Malaysia, bukan sahaja di Terengganu. Diharapkan selepas ini, kerajaan negeri lain akan mengikuti langkah yang dilakukan Terengganu.

Memang wajar dijalankan di seluruh negara Malaysia yang agama rasminya ialah Islam. Benda baik tidak salah kalau diikuti bukan?

Sumber: Sinar Harian Online