Perpaduan kaum masih utuh di Malaysia meskipun ada segelintir individu yang sengaja membuat onar dalam isu perkauman. Baru-baru ini seorang pemuda Melayu berkongsi kisahnya tentang pertemuan seorang pemandu teksi berbangsa India akibat insiden kemalangan kecil.
Saat kemalangan yang melibatkan aku ini berlaku, uncle Anga keluar daripada kereta dan berlari anak sambil tangan sebelah menutup kepala yang akan demam kalau lama-lama menadah hujan.
Saat dia berlari ke arah aku yang sedang meneliti keadaan kereta, pintu sebelah pemandu tidak boleh dibuka, aku perasan uncle ini berlari anak sambil kaki berdengkot.
Kasihan, insan yang semakin dimamah usia terpaksa meminta maaf pada orang yang berpuluh tahun muda daripada dia. Dengan muka yang kelihatan runsing, letak tangan di dahi sambil memikirkan keadaan teksinya iaitu mata pencarian yang sudah remuk akibat kemalangan.
“I’m so sorry, I am really sorry Sir!“
Very gentle.


Aku memang tidak marah langsung. Tidak tahu kenapa, sedikit pun tidak.
“Mahal ini tuan, minta maaf saya betul tidak perasan.”
“Tak apa, I claim sahaja nanti, I pun bukannya orang kaya mahu keluar wang sendiri. You okay uncle?”
“Ok, cuma ada terkejut sedikit la tangan a bit shaking.” Katanya.
Melihat pada itu, perasaan kasihan dan lembut hati melihat uncle ini, teringat bapak aku di rumah. Bayangkan, macam mana kalau bapak aku sendiri dalam situasi macam ini?
“Really sorry sir.”
“It’s ok Uncle. Siapa yang mahu excident? Benda sudah jadi, kecil punya hal.”
“I punya kereta ini pun kereta kerja sahaja uncle, kereta lama.”
“Kereta ada insurans, kita pergi buat report dan semua boleh selesai. Uncle jangan susah hati ya?”
Sayu aku melihat muka pemandu teksi itu yang basah kerana hujan.
Dalam hidup ini semua orang akan diuji, cuma ujian setiap orang itu berbeza. Ada kecil, ada yang besar. Dugaan dan musibah yang Allah beri itu kadang-kadang tersembunyi pelbagai nikmat dan rahmat yang lebih besar.
Terkadang laju meluncur di bibir kita tentang keluhan atau rintihan bila diuji. Sampai satu dunia tahu kau dilanda ujian. Semua orang dipersalahkan sampai kau persoalkan kerja Tuhan.
Innalillah wa inna lillahi rajiun.
Kami ini milik Allah, kepadaNya kami dikembalikan. Ini kalimah yang patut kita ucap ketika diuji. Ingat, kita ni milik Tuhan dan Tuhan layak menguji kita. Jangan sesekali hendak mengamuk tiak tentu hala apabila diuji.
Aku dahulu macam itu juga, rugi. Allah, ruginya rasa bila dikenang balik zaman muda remaja dahulu.
Uncle Angadorai, seorang pemandu teksi berusia 62 tahun yang telah lama kematian isteri tercinta. Anak-anak pula sudah berkahwin.
“Saya bawa teksi ini pun untuk tampung kehidupan sendiri tuan.” Sambung Uncle Anga.
“Alhamdulillah uncle, kita ini kalau anak-anak serba cukup kita sudah rasa besar nikmat dan bersyukur dah.” Kataku padanya.
Sepanjang lebih kurang 1 jam mereka di balai, sempat juga aku bergurau dengan dia.
“Kalau uncle mahu, saya banyak minnaci boleh kasi rekomen.” Gurau aku.
“Saya tidak mahu, saya mahu tunggu isteri saya sampai mata saya tutup nanti.” Balas uncle Anga tersenyum tetapi cukup tegas.
Banyak perkara yang aku borak dengan uncle ini, berkisar tentang perkahwinan dan kehidupan. Bagaimana dia boleh setia bersama cinta sejati mendiang isteri walaupun tiada lagi jasad setelah berpuluh tahun hidup berpasangan.
Selama ini kita dihidangkan dengan cerita pemandu teksi yang kurang ajar. Tetapi tidak semua, malahan aku sendiri pun baru terbuka mata tentang jerih kehidupan seorang pemandu teksi.
“Kenapa you tidak join Grab uncle”?
“Susah tuan, saya sudah tua kereta pun sudah lama”.
“Banyak prosedur dan peraturan yang saya tidak boleh lepas, belum campur lagi saya punya kesihatan yang tidak menentu ini” balasnya.
Uncle ini pula berbangsa India, iaitu bangsa yang sekarang ini tengah heboh dan tegang dengan perselisihan kaum bersama Melayu, yakni bangsa aku sendiri.
Aku redakan semua hatta ganti rugi sesen pun tidak terlintas dalam kepala ini untuk aku minta. Baik aku, baik uncle Anga, kami tidak kena saman oleh IO yang handle kes kecil ini.
Bilamana urusan orang lain kita permudahkan walau apa salah dia lakukan dengan ikhlas dan reda, walau sesiapapun dia tidak kenal warna kulit dan agama, pasti Allah permudahkan urusan kita.
Alhamdulillah terima kasih pada sarjan yang bertugas ketika itu, berbudi bahasa, baik orangnya dan mempermudahkan urusan aku serta uncle Anga.
Semoga kita semua sentiasa positif dan kuat untuk segala keburukan dan kelemahan yang datang. Berbuat baik kepada orang lain, tidak kira bangsa dan agama.
Kita yang tentukan sama ada hendak sejukkan keadaan atau panaskan lagi sesuatu keadaan itu. Semoga kita sentiasa positif dan kuat untuk segala ujian, keburukan dan kelemahan.
Bangsa Melayu kita adalah bangsa yang beradab, bangsa yang bertamadun dan bangsa yang berpegang teguh kepada kebaikan. Dan semua kenalan aku yang berbangsa India ataupun Cina, semuanya baik-baik tutur kata dan tindakannya.
Alhamdulillah.
Kalau sesiapa yang ada sekitar Senawang, Seremban atau yang berdekatan memerlukan teksi dan pemandu yang baik serta jujur, boleh hubungi Uncle Angadorai di talian 012-6054024.
*Artikel ini disumbangkan oleh Mizan Dzai. Beliau merupakan seorang penulis, motivator dan Corporate Restructing and Strategist. Anda boleh ikuti beliau di laman Facebook peribadinya di sini.