Rai Umur 30 Tahun Dengan Kembara Solo

Dalam imaginasi kebanyakan orang, ‘ketika sudah mencecah umur 30 tahun aku sudah ada semuanya; kewangan yang stabil, rumah, kereta dan keluarga’. Sedangkan hakikatnya memang jauh daripada realiti.

Menginjak usia 30 tahun, banyak perubahan yang akan berlaku dalam kehidupan seseorang. Tidak terkecuali terperangkap dalam dilema ini, seorang wanita, Alison Fox melakukan kelainan dalam meraikannya.

Mencecah umur 30, beliau ingin melakukan semua perkara yang dahulunya tidak digemari. Beliau mencabar diri untuk mengembara secara bersendirian dan menyedari bahawa masih banyak perkara baru tentang dirinya yang belum diterokai.

1. Persepsi diri tentang cabaran

Banyak perkara yang dicuba ketika mengembara seorang diri. Tanpa perlu risau dengan pandangan orang yang kita kenal, kita bebas melakukan kesilapan tanpa timbul rasa malu.

https://www.instagram.com/p/BYeC_1WHdVf/?utm_source=ig_embed

2. Tidak timbul istilah sunyi

Mengembara sendirian membuatkan anda lebih menghayati keindahan alam sekitar. Tanpa kehadiran teman untuk berkongsi cerita, mungkin anda akan jadi lebih berani untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali dan buat kawan baru.

3. Selesa dalam suasana sunyi

Jika anda sudah terbiasa dengan suasana bising, mengembara seorang diri akan membuatkan anda sedar sebenarnya suasana yang sunyi itu menenangkan. Jauh dari kesesakan dan gajet anda akan temui satu dimensi dunia yang baru.

4. Tiada orang untuk dirujuk

Kembara solo membuatkan anda lebih berdikari dalam membuat keputusan sendiri tanpa memerlukan pandangan orang lain. Tiada tempat untuk mengadu, semuanya perlu anda fikirkan sendiri apakah akibat dari setiap perbuatan.

5. Belajar sesuatu yang baru

Ya, kembara solo akan mengajar anda banyak perkara baru contohnya mengurus masa sendirian, membuat kawan baru dan menjadi diri sendiri. Kebiasaannya bergerak secara berkumpulan memerlukan keputusan majoriti, tetapi apabila anda sendirian, anda berhak memilih mengikut cita rasa tanpa perlu risau mengenai perspektif orang lain.

Buat mereka yang selalu mengembara secara berkumpulan, apa kata kalau kali ini cuba pula kembara solo. Kalau takut untuk ke luar negara, cuba dahulu ke lokasi dalam negara. Selepas itu jangan lupa untuk kongsikan pengalaman anda mengembara solo bersama kami di MakanLena.

Sumber: Solo Travel