Rekaan projek aplikasi telefon pintar Verify Halal yang dibangunkan oleh Kumpulan G2G dan Serunai Commerce dengan kolaborasi JAKIM telah berjaya memperoleh Pingat Emas sempena Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri 2018.
https://www.facebook.com/232206486938632/posts/1164297503729521/
Menurut kenyataan yang dimuat naik dari laman Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM, aplikasi telefon pintar Verify Halal telah berjaya menambat hati juri sepanjang pembentangan yang berlangsung pada 1 hingga 3 Oktober 2018 di Kompleks Jabatan Perdana Menteri. Anugerah yang diterima seumpama ini akan meningkatkan lagi imej Pensijilan Halal Malaysia khususnya dalam penyampaian maklumat berkaitan pensijilan halal kepada masyarakat.
Aplikasi Veriy Halal merupakan platform yang membolehkan pengguna dan pembekal mendapatkan status halal produk makanan, kesihatan dan kosmetik secara pantas dengan hanya mengimbas kod bar melalui telefon pintar. Aplikasi ini bukan sahaja dihubungkan kepada data asas JAKIM malah diperluaskan juga kepada 67 badan pensijilan global yang dikenal pasti JAKIM.
Tujuan aplikasi ini diperkenalkan untuk mengatasi beberapa produk yang mungkin salah menggunakan logo halal pada penawaran mereka, selain pada masa yang sama juga terdapat pelbagai penyebaran info palsu berkaitan dengan produk halal di laman sosial.
Justeru, aplikasi ini akan menjadi medan rujukan jenama halal dan pengguna global serta platform kepada semua jenis pengguna dan jenama bagi menghubungkan jurang maklumat atau persoalan disamping menjadi pemacu kepada pertumbuhan dan ketelusan industri halal.

Aplikasi Verify Halal sudah hadir di kedua-dua peranti Android dan iOS.
Sumber: FB Bahagian Hab Halal, JAKIM