Kalau kita lebih berusaha untuk memahami orang lain, maka dunia akan lebih aman.
Dalam penerbangan domestik dari Istanbul ke Isparta hari tu, aku duduk di kerusi berhadapan dengan seorang ibu muda Turki yang meriba bayinya, aku agak umurnya baru 2 bulan atau kurang. Disebelahnya ada anak perempuan berumur lebih kurang 4 atau 5 tahun. Suaminya di seberang aisle tapi masih bersebelahan.
Sebelah kiri aku, kak Zila Ahmad.
Dari mula aku masuk dan duduk, bayi di belakang aku ni dah menangis. Aku dan Kak Zila pada mulanya tak adalah hairan sangat. Bila dah dekat 10 minit, dan kapal terbang belum take off lagi, bayi tu masih tak berhenti-henti menangis. Kau boleh bayang tak bayi yang tengah merah, menangis macam mana? Sampai kau boleh dengar suara dia macam dah menggigil.
Aku intai melalui celahan kerusi. Nampak dia cuba memberi susu. Senyap dalam beberapa saat. Tak jadi. Ibu muda ni cuba hulurkan bayi ni kepada suami dia. Tetap tak jadi. Makin kuat budak ni melalak. Lalu si suami pass balik budak ni dekat isteri dia. Kesian. Dia pun blank tak tau nak buat apa agaknya.
“Kesian budak tu kak. Kesian jugak dekat mak dia, mesti dah stress tak tahu dah macam mana nak buat,” aku beritahu pada Kak Zila.
Bayangkan anak menangis macam tu di tengah orang ramai, dalam kapal terbang pula. Dan dia dah cuba untuk senyapkan, tapi tak berjaya. Tak percaya? Kau tanya sahaja mana-mana mak, mesti mereka iyakan.
“Ehhh, kesian. Rasa macam nak tolong mak dia. Dah menggigil-gigil haa budak tu nangis.”
“Cuba saja kak. Sementara tak take off lagi ni,”
Kak Zila intai celahan kerusi.
“Do you want me to help you calm your baby?”
“Yes, please,” terus si perempuan sua bayi dia. Aku agak terkejut jugalah, sebab dia langsung tak teragak-agak. Mungkin dia dah stress sangat.
Kak Zila ambil budak ni dengan keadaan muka merah, berpeluh-peluh, dan panas sikit. Terus dibuka dan dihalanya air-cond ke bayi ni. Dalam seminit, suara dia menangis dah makin perlahan.
“Can you give this?” maknya beri botol susu kepada aku, untuk beri kepada Kak Zila. Disebabkan perempuan ni duduk belakang Kak Zila, dia hanya boleh nampak aku yang duduk sebelahnya.
Bayi tadi mula minum, dan senyap. Muka pun dah tak merah-merah, akhirnya terlelap lena. Kak Zila ni single. Aku tak tahu dia pakai magik apa tenangkan budak tu.
Lapar rupanya.
Bila dah lena suasana kembali tenang, bayi tadi diberikan kembali kepada ibunya.
“Thank you very much. You save my day,” mukanya kelihatan sangat lega.
Wowww. Adalah sejenis kebahagiaan bila dengar ayat macam tu. Sungguh.
Jadi, di sini aku nak kata, kita kalau nak buat kebaikan, jangan teragak-agak terutama dekat orang yang kita tak kenal. Terus buat. Kita tak tahu, terkadang besarnya makna pertolongan itu bagi orang yang ditolong walaupun kita rasa, benda tu kecil sahaja.
Tambah zaman media sosial terutama Facebook ni, bersepah sangat manusia yang kalau tak puas hati sikit, terus nak viral. Tak puas hati servis pelayan kafe tak layan kau tapi boleh pula ‘sedap’ main telefon, terus kau viral.
Padahal, benda macam ini boleh saja nak tegur elok-elok dan selesaikan. Ini contoh.
Bayangkan, kalau dalam situasi Kak Zila dan aku tadi, kami memilih untuk buat tak tahu dan ada persepsi buruk dekat ibu muda tadi, adakah keadaan akan menjadi lebih baik?
Bak kata Stephen Covey, dalam buku dia The 7 Habit of Highly Effective People; “Seek first to understand, then to be understood.”
Hidup ni tak boleh faham diri sendiri sahaja. Dengan fahami orang lain makanya anda akan lebih sabar dan tenang dalam hidup. Gituuu.
Dahlah. Kau banyak sangat gaduh-gaduh dalam Facebook ni dapat apa aar?
* Artikel ini disiarkan dengan izin daripada Hanis Hafizah. Anda boleh ikuti beliau di lama Facebook peribadinya di sini. Untuk makluman, artikel ini telah diubah suai mengikut format penulisan di MakanLena.