Mempunyai pasport dan dokumen yang sah merupakan syarat utama bagi warga asing dari negara ASEAN untuk masuk ke Malaysia. Bagi rakyat negara lain seperti China, mereka perlu memiliki visa.
Sejajar dengan teknologi yang membangun, pihak kerajaan telah membangunkan satu laman web yang dinamakan sebagai eNTRI (Electronic Travel Registration & Information) bagi membolehkan warga asing memohon visa secara atas talian. Namun, kegagalan sistem ini dalam menjalankan fungsinya yang sebenar memberikan masalah kepada negara Malaysia.
Tiada tapisan atau saringan awal, sistem ini dilihat seakan memberikan keuntungan atas angin kepada syarikat yang menguruskannya daripada tahun 2016 sehinggalah sekarang. Bayaran RM100 yang dikenakan pada setiap permohonan ini dikatakan boleh lulus dalam masa 5 minit sahaja.
Jenayah kolar putih ini telah mengabaikan ciri-ciri keselamatan apabila permohonan daripada mereka yang disenari hitam dan ada rekod jenayah turut diluluskan. Disebabkan terlalu mahu mengaut keuntungan, pelancong yang sebenarnya tidak memenuhi syarat turut dibenarkan masuk.

Betapa warga asing ini tidak mengambil serius tentang visa ini sehinggakan ada di antara mereka yang menggunakan gambar monyet, alamat palsu bahkan alamat sebuah agensi pihak berkuasa Malaysia. Jenayah yang membawa mudarat kepada negara Malaysia ini terbongkar apabila ada sumber (boleh dipercayai) memberikan maklumat kepada sebuah pihak akhbar.
Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini. Jika dibiarkan berlarutan, lambakan pelancong asing yang sedia ada akan semakin bertambah dan makin rakyat Malaysia merasakan tidak selamat untuk berada dalam negara mereka sendiri.
Sumber: Utusan Online