Pengangkutan Awam London Haram Iklan Makanan Ringan

Pengambilan makanan ringan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula sememangnya menjadi kegemaran semua. Rasanya yang boleh menyebabkan rasa ketagih kepada seseorang menjadikan makanan ringan kadangkala diambil secara berlebihan.

Namun, pengambilan makanan ringan yang berlebihan ini sebenarnya lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Akan menyebabkan kesan jangka panjang untuk kesihatan tubuh badan, pihak kerajaan tempatan London telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah ini.

Bermula 25 Februari 2019, iklan makanan ringan di semua rangkaian pengangkutan awam di seluruh bandar London akan diharamkan sebagai satu langkah untuk mengurangkan kadar obesiti kanak-kanak di bandar tersebut. Pengharaman ini merangkumi makanan dan minuman bukan alkohol yang mengandungi kadar gula, garam dan lemak. Ini termasuklah bar coklat, minuman bergula dan burger.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan mengajukan kempen pengharaman ini pada bulan Mei menerusi platform perbincangan atas talian datuk bandar, Talk London dan menerima 1,500 maklum balas dengan persetujuan sebanyak 82%.

Haram Makanan Ringan
Sumber: Medical News Today

Sadiq menyifatkan isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak sebagai ‘bom yang berdetik’. Turut menjadikan punca utama terjadinya isu ini ialah disebabkan lambakan iklan yang dipaparkan di seluruh bandar.

London tersenarai antara bandar yang mempunyai bilangan kanak-kanak berpenyakit obesiti yang tertinggi di Eropah dengan kadar 40% dalam kalangan usia 10 hingga 11 tahun.

Di Malaysia pula, iklan makanan ringan tersiar secara berleluasa; medium media sosial, televisyen, radio malah majalah dan surat khabar. Seramai 5.5 juta rakyat Malaysia menghidap obesiti dan kadar ini semakin hari semakin meningkat.

Mengapa tidak kita ikuti langkah seperti yang dilakukan oleh datuk bandar London ini agar Malaysia boleh dikenali sebagai negara yang tinggi kadar kesedaran kesihatannya?

Sumber: CNN