Kembara Dua Bulan ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ Selamat Sampai Tunai Umrah

Memang impian semua Muslim ingin menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Dengan kemudahan pengangkutan kapal terbang, para jemaah tidak perlu lagi menempuh tempoh masa perjalanan yang lama untuk sampai ke sana.

Berbeza dengan tiga sekawan dari Kota Bharu, Kelantan yang memilih motosikal sebagai pengangkutan mereka ke sana. Perjalanan yang sudah dirancang sejak Februari 2018 ini telah menelan belanja sebanyak RM120,000.

Mahu menyelami kesukaran orang zaman dahulu menuju ke Mekah, ahli kumpulan yang terdiri daripada Diami Yusuf, 58, Mohamad Fadhli, 40 dan Mohd Zalani, 64 ini mahu membuktikan bahawa walaupun hanya dengan menggunakan motosikal kapcai dan sudah memasuki usia emas, mereka masih mampu untuk sampai ke Tanah Suci.

Kembara Motosikal Ke Mekah

Jarak 14,000 kilometer yang ditempuhi sekitar 2 bulan pemanduan bukanlah sesuatu yang mudah. Memulakan perjalanan pada 3 November 2018, kumpulan yang menggelarkan diri mereka ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ ini dikatakan menempuh lebih kurang lapan negara iaitu Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi sebelum tiba di Mekah.

Kembara ini bukan untuk meraih populariti, mendapat perhatian atau penghargaan daripada mana-mana pihak sebaliknya mahu menggunakan kudrat yang masih ada ke jalan yang diredai Allah.

Bukan pergi tanpa sebarang persediaan, tiga sekawan ini masing-masing berkongsi pengalaman yang ada bagi memastikan misi mereka tercapai dan selamat pulang ke Malaysia selepas menunaikan umrah.

Sebagai contoh, Diami berpengalaman menunggang motosikal di pelbagai negara Asia Tenggara termasuklah Leh, Ladakh, India yang merupakan puncak tertinggi dunia pada tahun 2016. Manakala Mohd Zalani yang pernah menunaikan haji sebelum ini juga merupakan seorang mekanik berpengalaman membaiki motosikal selama 40 tahun.

Antara cabaran yang dilalui oleh ahli kumpulan ini ialah ‘tersangkut’ di Dubai disebabkan visa masih belum mendapat kelulusan walaupun jarak ke Tanah Suci hanya berbaki 2,400 kilometer sahaja.

Kembara Motosikal Ke Mekah

Geng ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ ini selamat sampai di Mekah jam 12 tengah hari pada 21 Januari berhasrat menunaikan sujud syukur di Masjid Quba’ sebagai tanda kesyukuran atas doa dan impian mereka yang telah Allah SWT kabulkan.

Sumber: Sinar Harian

Teringin nak makan itik salai yang sedap? Tonton

Itik Salai Masthar [#CubaRasa – MakanLena]

dan jangan lupa subscribe Youtube MakanLena.

https://www.facebook.com/makanlenadotcom/videos/364612111024078/