Pasti ramai berasa pelik dengan kenyataan tentang minum minyak sawit merupakan rahsia awet muda. Ia berikutan Menteri Industri Utama, Teresa Kok mengajak ahli-ahli Parlimen supaya mengambil minyak sawit merah untuk kekal awet muda.
Ini juga merupakan saranan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta rakyat Malaysia agar meminum sesudu minyak sawit sehari. Beliau juga menyeru rakyat Malaysia menjadi duta kepada produk minyak sawit negara terutamanya minyak sawit dara atau virgin.
Minyak sawit yang disarankan itu bukanlah minyak masak berwarna kuning untuk menggoreng itu, sebaliknya minyak sawit merah.

Menurut Profesor Dr. Lai Oi Ming dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM, minyak kasar yang diekstrak daripada buah sawit menghasilkan minyak berwarna merah. Warna merah ini mengandungi karoten untuk pro-vitamin A manakala tokoferol dan tokotrenol lebih kepada vitamin E.
Pengambilan tokotrenol boleh membantu mengurangkan kesan penyakit eczema. Selain itu, ia boleh bertindak sebagai antikanser, mengurangkan kolesterol dan penyakit berkaitan kardiovaskular. Begitu juga kandungan vitamin E dalam minyak sawit merah baik untuk kulit termasuk melambatkan penuaan.
Manakala pakar nutrisi di China mengatakan minyak sawit merah dapat membantu meningkatkan lagi penglihatan terutamanya kanak-kanak.
Khasiat minyak sawit merah agak sama dengan minyak kelapa sawit dara yang banyak diproses di Afrika. Di Afrika, kanak-kanak diberi satu sudu sehari untuk diminum yang sudah cukup untuk memperoleh vitamin A dan E hariann yang diperlukan.
Namun di Malaysia, minyak sawit merah tidak begitu terkenal untuk diamalkan kerana baunya yang pelik dan berwarna merah. Difahamkan ada syarikat kecil menghasilkannya untuk dieksport ke luar negara tetapi bukan untuk pasaran tempatan.
Di Jepun, rakyatnya menggunakan minyak sawit ini untuk dimakan dengan salad dan di Amerika Syarikat pun sudah semakin terkenal.
Jadi, siapa mahu menyahut saranan Perdana Menteri kita untuk minum sesudu minyak kelapa sawit?
Sumber: Sinar Harian, Utusan Online