Perkhidmatan Grab kini dilihat memonopoli pasaran e-panggilan Malaysia sejak membeli Uber tahun lepas. Sejak itu, banyak juga aduan tentang pengguna terutama kenaikan tambang.
Grab juga telah melaksanakan peratura baharu yang mana jika pengguna batalkan servis atau lewat akan dikenakan denda antara RM3-RM5.
Jika anda sudah bosan dengan Grab dan berasa sangsi untuk menaiki teksi, di sini kami berikan alternatif lain beberapa syarikat e-panggilan yang mungkin anda boleh pertimbangkan.

1. MyCar
Antara tawaran e-hailing yang terbesar di Malaysia, ia juga menggunakan model yang sama seperti Grab. Pengguna boleh mengesan kedudukan pemandu dan harga yang ditawarkan terlebih dahulu. Paling penting, tiada surcaj untuk kesesakan dan harganya tetap.
2. Jom Rides
Aplikasi Jom Rides merupakan syarikat yang dimulakan di Malaysia dan dikatakan beroperasi seperti konsep MLM di mana platform tersebut perlu merekrut lebih ramai pemandu supaya aktif.
Walaupun terdapat pelbagai reaksi yang dikongsi oleh pengguna termasuk tidak dapat melihat kadar harga yang dikenakan sebelum membuat tempahan ia masih menjadi salah satu perkhidmatan e-panggilan pilihan.
3. EzCab
EzCab memberikan banyak pilihan pengangkutan seperti kereta persendirian, teksi bermeter, teksi MPV dan MPV. Selain embayar secara tunai atau kad kredit, pengguna juga boleh membayar melalui Boost, TouchNGo eWallet, Alipay, atau WeChat pay. Keistimewaan lain termasuk diskaun untuk lokasi terpilih seperti IKEA, 10% diskaun tiket masuk Zoo Negara dan banyak lagi.
4. Riding Pink (wanita sahaja)
Riding Pink ialah perkhidmatan e-panggilan untuk wanita sahaja pertama yang dilancarkan di Malaysia. Objektif perkhidmatan ini menawarkan peluang ekonomi dalam masa yang sama menjadi perkhidmatan e-panggilan selamat dan mesra kaum Hawa.
5. Mula
Sama seperti perkhidmatan Grab, Mula membolehkan pengguna menempah pemandu sekurang-kurangnya 2 jam sebelum. Jika anda seorang wanita, anda boleh menggunakan Mula Pink Driver untuk meminta pemandu wanita. Terdapat juga halaman Favourite Driver yang mana pelanggan boleh memilih sesiapa sahaja dalam senarai kegemaran untuk menerima permintaan.
Maka, bukan Grab sahaja yang anda boleh guna. Jika bosan dengan Grab, bolehlah cuba perkhidmatan e-panggilan yang disenaraikan ini.