Zoo Negara Sangat Perlukan Lebih Ramai Pengunjung

Zoo atau taman haiwan pastinya meninggalkan nostalgia dan kenangan indah buat kita semasa kecil dalam mempelajari serta mengenali dunia haiwan dan alam sekitar secara dekat.

Zoo Negara pernah menerima lebih sejuta pengunjung setiap tahun bermula 1985 sehingga 1995 dan merupakan masa gemilang Zoo Negara yang mencipta rekod kedatangan pengunjung paling ramai.

Namun, baru-baru ini dilaporkan zoo yang terletak di ibu negara memerlukan lebih ramai pengunjung dan penaja bagi menampung kos operasi, terutama bagi penjagaan harimau Malaya yang boleh menelan belanja sebanyak RM500,000 setahun.

Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, ia memerlukan RM100 sehari untuk memberi makan harimau Malaya manakala harimau Bengal makan 10kg daging atau bernilai RM200 sehari. Ini bermakna, memakan belanja RM40,000 setiap harimau untuk setahun, termasuk ubat-ubatan.

Zoo Negara perlukan pengunjung
Sumber: The Culture Trip

“Mengambil faktor dalam perbelanjaan pekerja, kita memerlukan kira-kira RM500,000 setahun. Secara idealnya, untuk memperluaskan dan menjadikan zoo tumpuan pemerhatian harimau Asia, kita memerlukan kira-kira RM1 juta setiap tahun.

“Ini juga boleh didapati melalui penajaan swasta, yang mana syarikat boleh menaja satu atau lebih haiwan selagi mereka suka. Mereka juga boleh menamakan bayi yang baru lahir.”

Beliau berkata geran persekutuan 5 tahun yang berjumlah RM5 juta telah diterima oleh zoo itu tamat pada tahun 2004, dan kini hanya bertahan dengan menerima bantuan kerajaan yang berbentuk one-off untuk penyelenggaraan dan pemeliharaan.

“Kami telah membelanjakan RM1 juta hingga RM1.2 juta sebulan untuk tiga tahun yang lalu dan kami perlu mempunyai sekurang-kurangnya 500,000 pelawat untuk menampung kos tersebut.”

“Oleh itu, kami terpaksa membelanjakan semua yang diperolehi. Maka pengembangan zoo sebagai kemudahan untuk pendidikan, pemuliharaan dan penyelidikan saintifik adalah amat terhad.”

Rosly juga memberitahu, sejak 2015 semakin berkurang pelawat berkunjung ke Zoo Negara.

Zoo Negara mencatatkan rekod sebanyak 708,000 pelawat pada 2014, ketika China menghadiahkan Malaysia dua ekor panda raksasa, Xing Xing dan Liang Liang.

“Pada 2016, kami mempunyai 435,000 pelawat sahaja dan ia jatuh ke 345,000. Tetapi angka pulih sedikit dengan 368,000 orang yang datang pada tahun lepas. Tetapi ia masih merosot secara keseluruhan.”

Bagaimanapun, pihak mereka berusaha untuk bertemu dengan Dr A. Xavier Jayakumar selaku Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dan menjemput Perdana Menteri Malaysia untuk mebincangkan usaha mengukuhkan kemudahan pemuliharaan, pendidikan dan penyelidikan Zoo Negara.

Marilah kita sama-sama membantu pemuliharaan Zoo Negara dengan mengunjunginya atau menjadi sukarelawan di sana. Tidak perlu hanya lawatan sekolah sahaja baru merasai pergi ke Zoo Negara, yang sudah dewasa ini pun boleh berkunjung lagi.

Sumber: New Straits Times