Selalu kita lihat reka bentuk penginapan yang unik, kebanyakannya di luar negara bukan? Tapi, kali ini pasti anda tidak percaya apabila hotel berbentuk pesawat wujud di Malaysia.
Impian mewujudkan hotel seumpama ini tercetus daripada “idea gila” dua beranak ini sejak tiga tahun lepas.
Kevin Young Thien Sheng dan ayahnya berhasrat untuk membuka hotel unik itu menggunakan pesawat Boeing 737-400 dan dijangka dapat direalisasikan pada awal tahun hadapan.
Menurut Kevin, pesawat itu dibeli olehnya daripada sebuah syarikat penerbangan yang perlu melupuskan pesawat yang telah melebihi tempoh perkhidmatan. Hotel unik itu bakal dibuka di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.
Mereka mengambil masa selama dua bulan merancang ‘perjalanan’ pesawat itu ke Sungai Lembing, supaya kenderaan membawa pesawat itu tidak mengganggu aliran trafik khususnya laluan jalan raya Persekutuan sebelum memasuki lebuh raya.
Pastinya mewujudkan hotel sebegini memerlukan belanja yang besar. Kevin menambah mereka mungkin membina hanya lima buah bilik daripada keseluruhan 36.57 meter (120 kaki) pesawat itu bagi menjamin keselesaan pengunjung.
“Saya mahu mengekalkan ciri-ciri pesawat seperti pintu masuk… jadi mungkin satu dua bilik akan menggunakan pintu bagasi sebagai pintu masuk dan ada bilik akan diakses menggunakan pintu masuk penumpang. Ini memberi pengalaman tersendiri kepada pengunjung.
“Bahagian kokpit pula akan dikekalkan supaya semua pengunjung boleh merakamkan kenangan. Tren terkini pengunjung mahu gambar yang cantik untuk dimuat naik dalam laman sosial khususnya di Instagram,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi melindungi keunikan hotel, mereka sedang mendaftarkan jenama hotel kapal terbang itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kerana berhasrat mahu membuka hotel dengan konsep serupa di lokasi berbeza.
Pasti ramai berpusu-pusu untuk merasai pengalaman menginap di hotel ini apabila sudah dibuka nanti kan?
Sumber: Utusan