6 Tip Mudah Goreng Mihun Supaya Hasilnya Tak Hancur

Boleh dikatakan mihun goreng antara menu yang mudah dimasak. Tetapi selalunya apabila baru belajar memasak mihun, mesti tidak menjadi.

Kadang-kadang hasilnya menjadi keras, ada kalanya lembik, hancur dan berketul-ketul. Sebenarnya, menggoreng mihun pun perlukan teknik yang betul.

Jom lihat panduan menggoreng mihun agar elok sempurna.

1. Lain jenama, lain tekstur mihun

Nampak sahaja mihun serupa, tetapi sebenarnya teksturnya berlainan mengikut jenama. Ada jenama mihunnya cepat sahaja lembut dan sebaliknya.

Jadi, jika anda mahu menggoreng mihun, gunakan jenama yang biasa anda guna lebih-lebih jika mahu dihidangkan kepada tetamu (supaya tidak kelam-kabut jika mihun tak menjadi).

2. Rendam dengan air biasa

Ini teknik yang sebenar, rendam mihun dengan air biasa sahaja. Tidak perlu guna air panas untuk melembutkan mihun kerana dikhuatiri mihun akan cepat lembik dan apabila menggoreng mihun, memang mihun akan menjadi hancur.

Jika tiada masa untuk menunggu mihun melembut dalam air, rendamkan sekejap dan tambahkan air sedikit ketika memasak.

Mihun yang direndam dengan air panas hanya sesuai untuk masakan berkuah sahaja.

tip goreng mihun tak hancur

3. Gaul perlahan

Tekstur yang senang lembut dan nipis ini membuatkan mihun senang hancur. Jadi, apabila anda menggoreng mihun, pastikan gaul dengang perlahan atau secara lemah lembut.

4. Jangan letak banyak air

Ini bahagian selalu orang tersilap. Setelah menumis bahan, kita akan masukkan air. Ketika proses ini sebaiknya masukkan sedikit demi sedikit air. Jangan terus masukkan air dengan kuantiti banyak dikhuatiri akan membuatkan mihun anda menjadi lembik dan hancur.

5. Masukkan perasa ketika mihun dan airnya masih ada

Waktu sesuai untuk menambah perasa seperti gula dan garam ialah selepas mihun dan airnya masih ada. Jika air mihun sudah kering, campurkan perasa dengan air dahulu kemudian tuang dalam bahan masakan.

6. Api jangan terlalu besar

Tip seterusnya, elakkan menggoreng mihun dengan api yang terlalu besar lebih-lebih lagi setelah air mihun kering. Jadi, guna api sederhana sahaja untuk mengelakkan mihun goreng anda daripada hangus dan kuali berkerak.

Selamat mencuba!

Sumber: RASA