Makanan pedas sememangnya menjadi kegemaran ramai terutama masyarakat di Asia.
Kebanyakan orang Malaysia sudah sebati dengan makanan pedas. Setiap kali makan, pasti rasa kurang jika belum ditambah sambal. Rasa pedas dapat membangkitkan selera makan, betul tak?
Namun, kajian baharu menunjukkan pengambilan makanan pedas yang berlebihan berisiko membuatkan anda menjadi pelupa, menurut jurnal Nutrients.
Makan pedas mungkin memberi kelebihan pada badan seperti membantu menurunkan berat badan. Bagaimanapun, kajian baharu ini menunjukkan terutama orang dewasa (umur 55 tahun ke atas) harus berhati-hati apabila mengambil makanan pedas memandangkan ia boleh menyebabkan gangguan kognitif.

Satu kajian melibatkan lebih 4,500 responden mendapati mereka yang memakan sebanyak 50 gram cili sehari, mengadu berdepan masalah ingatan atau demensia. Pengambilan cili yang berlebihan (sepanjang lebih 15 tahun) juga dikaitkan dengan penurunan daya ingatan sebanyak 56%.
Antara jenis cili yang diuji oleh penyelidik ialah cili segar dan kering, kedua-duanya mengandungi Capsaikin yang lebih dikenali dengan menambah metabolism badan dan kesihatan vascular.
Menurut data WHO, secara globalnya, lebih 50 juta orang menderita penyakit demesia.
Kadar kekerapan demensia berlaku adalah di antara 2% hingga 20%. Ianya berganda setiap 5 tahun peningkatan usia bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Lebih dari separuh pesakit dementia mengalami penyakit Alzheimer.
“Dalam kajian sebelumnya, kami dapati pengambilan cili bermanfaat untuk penurunan berat badan dan tekanan darah.
“Tetapi kali ini, kami menemukan kesan buruk terhadap perkembangan kognitif dalam kalangan orang dewasa yang lebih berusia,” kata salah seorang penyelidik, Dr Zumin Shi.
Bagaimanapun, ia hanyalah kajian awal dan penggemar cili tidak perlu bimbang atau berhenti daripada mengambil makanan pedas, cumanya perlu berpada-pada mengambil makanan pedas selepas ini.
Sumber: The Jakarta Post