Masih ramai yang lebih memilih ayam tua atau dengan panggilan lainnya adalah ayam pencen. Meskipun isinya agak liat namun nilai kesihatannya lebih bagus berbanding ayam yang diternak secara komersial. Buat penggemar ayam pencen pastinya mereka lebih tahu akan rasa isinya yang lebih manis.
Tidak dinafikan, ayam pencen ini mengambil masa yang agak lama untuk dimasak. Ini bagi memastikan isi ayam benar-benar empuk dan tidak liat. Kebiasaannya, ayam pencen sangat sesuai dan sedap dibuat masak rendang, pecel dan sebagainya.
Dalam artikel kali ini, kami akan berkongsi kepada anda cara-cara untuk melembutkan isi ayam pencen. Bagi anda yang jarang-jarang menggunakan ayam pencen dalam masakan dan teringin sekali untuk mencuba, anda boleh menggunakan cara ini. Pastinya lebih cepat dan memudahkan kerja.
1. Air Kelapa

Potong ayam pencen kepada beberapa bahagian mengikut kesesuaian juadah masakan. Kemudian, rebuskan ayam pencen bersama air kelapa sehingga ia empuk. Apabila telah empuk, toskan air rebusan tadi, dan boleh dimasak seperti biasa.
2. Daun Nangka

Ketika sedang merebus ayam pencen, masukkan beberapa helai daun nangka yang masih muda. Ayam pencen akan lebih cepat empuk.
3. Lada Hitam

Sebelum merebus ayam pencen, tumbukkan setengah sudu lada hitam bersama halia. Masukkan bahan yang telah ditumbuk ke dalam periuk yang telah berisi air dan ayam tua. Rebus sehingga ayam pencen lembut.
4. Biji Selasih

Bungkuskan segenggam biji selasih. Bungkus seperti bungkusan sup bunjut dan campakkan ke dalam rebusan ayam pencen. Hasilnya ayam pencen lebih cepat lembut.
Mudah bukan cara yang kami kongsikan? Bahan-bahan yang digunakan juga mudah didapati. Semoga bermanfaat.