Resipi Kari Hijau Ayam Thai Rasa Macam Makan Di Kedai

Masakan kari dijamah hampir seluruh penduduk dunia walaupun hidangan berempah ini berasal dari India. Menariknya, setiap negara memiliki resipi dan adunan berbeza untuk memasak kari menyebabkan rasanya berbeza-beza.

Resipi kari tidak hanya terhad kepada sejenis ramuan dan campuran rempah kerana bahan lain turut digunakan. Di Thailand, hida­ngan kari yang terkenal di negara itu ialah kari hijau berdasarkan warnanya. Sesuai dengan namanya, kari hijau agak pedas hasil penggunaan cili hijau dan cili padi.

Bukan masyarakat Thailand sahaja, segelintir rakyat Malaysia juga gemar dengan masakan kari ini. Di sini, kami kongsikan resipi kari hijau ayam Thai yang perlu anda cuba.

Resipi Kari Hijau Ayam Thai
Sumber: CNN

Cara buat pes kari hijau:

Bahan-bahan kisar:

1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
6 tangkai cil padi hijau
4 pokok daun ketumbar (kisar bersama akarnya)
4 helai daun limau purut
2 batang serai
1 inci lengkuas
Daun selasih (lagi menambah rasa autentik masakan Thai)

Resipi Kari Hijau Ayam Thai
Sumber: DJ Foodie


Bahan masakan:

1/2 ekor ayam dipotong 4-6 ketul
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk kari ayam
1 sudu teh serbuk pati ayam
2 keping asam gelugur
125ml santan pekat
250ml air
1 biji tomato dibelah enam
1 biji bawang besar dibelah empat
Garam dan gula secukupnya

Cara memasak:

1. Tumiskan bahan yang telah dikisar bersama serbuk jintan manis, serbuk kari ayam, serbuk pati ayam, asam gelugur, garam dan gula secukup rasa sehingga pecah minyak.
2. Masukkan santan pekat, masak selama 5-6 minit atau sehingga pecah minyak.
3. Kemudian masukkan ayam dan air kacau sebentar, biarkan sehingga air mendidih atau sehingga kuah agak memekat.
4. Seterusnya, masukkan tomato yang telah dihiris dan bawang besar yang telah dibelah empat. Masaklah sehingga tomato dan bawang agak lembut. Tutupkan api. Kari hijau ayam sedia untuk dihidangkan.

* Selain tomato, boleh guna terung, rebung dan jagung mini.

* Untuk mudahkan kerja memasak anda, buat pes kari banyak-banyak dan simpan. Jika ingin masak hidangan ini, hanya perlu sediakan ayam, santan dan bahan-bahan lain sahaja.

Selamat mencuba!