AirAsia Berjaya Jual Hampir 200,000 Tiket Penerbangan Sempena Pembukaan Semula Langkawi

Berikutan pengumuman kerajaan mengenai pembukaan semula Langkawi minggu lalu, tiket penerbangan AirAsia mendapat sambutan hangat!

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, penjualan tiket penerbangan untuk ke Langkawi ketika ini mencecah angka hampir 200,000.

Sambutan menggalakkan ini menunjukkan ramai pelancong domestik yang sudah lengkap 2 dos vaksin mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga sempena menyambut hari Malaysia pada 16 September ini.

Pada hari pertama (tempahan) itu sendiri (9 September), kami berjaya menjual hampir 30,000 tiket penerbangan,” katanya pada satu sidang media maya mengenai program travel bubble atau gelembung pelancongan Langkawi dan pelancaran produk airasia Super App.

Riad berkata, AirAsia Malaysia akan mengadakan 90 penerbangan mingguan ke dan dari Langkawi yang berlepas dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu), Pulau Pinang (14 kali), Johor Bahru (tujuh kali), Ipoh (tiga kali) dan Kota Bharu (tiga kali).

Baca juga: 7 Aktiviti Utama Pelancongan Yang Dibenarkan Di Langkawi Mulai 16 September Ini

Riad juga menjangkakan berikutan sambutan yang amat luar biasa ini, beliau yakin momentum ini akan berterusan lagi sehingga ke bulan Oktober.

Sementara itu, menerusi airasia Super App yang diusahakan bersama Langkawi Development Authority (LADA), pengalaman baru membeli-belah bebas cukai dan tanpa sentuhan turut ditawarkan.

Dengan menggunakan aplikasi ini, pesanan yang dibuat oleh pelanggan akan dihantar pada hari yang sama bagi setiap kawasan yang meliputi keseluruhan pulau dan semua hotel.

Foto AirAsia
– Foto AirAsia

airasia Super App yang kini menawarkan perkhidmatan e-hailing sempena dengan pelancaran AirAsia ride baru-baru ini, akan turut mula beroperasi di Langkawi mulai 16 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, Langkawi mencatatkan 285 penerbangan setiap minggu pada 2019.

“Sayangnya, ketika pandemik melanda pada tahun 2020, frekuensi penerbangan turun menjadi hanya 195 sahaja setiap minggu.

“Oleh itu, untuk masa akan datang, kami amat berharap kolaborasi strategik bersama AirAsia ini dapat membantu untuk menarik lebih banyak pelancong ke pulau ini,” tambah beliau.

Menurut Nasaruddin lagi, data dari Malaysian Association of Hotels (MAH) menunjukkan kadar purata penginapan di hotel bertaraf empat dan lima bintang pada masa ini adalah sekitar 50% manakala hotel bertaraf tiga bintang ke bawah masih rendah sekitar 20% hingga 30% sahaja.

LADA kini turut bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menghasilkan satu set prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif untuk pasaran pelancongan antarabangsa.

Sumber: The Star