3 Lokasi Luangkan Masa Bercuti Di Singapura Sempena Cuti Hujung Tahun

hujung tahun di Singapura
Sumber: Youtube

Tinggal beberapa hari sahaja tahun 2018 akan melabuhkan tirai. Mahu lakukan aktiviti apa untuk saki-baki hari tahun 2018?

Hendak bercuti di luar Malaysia tetapi bajet pula tidak seberapa? Anda masih boleh menikmati percutian sempena cuti hujung tahun di Singapura!

hujung tahun di Singapura
Sumber: Calvinseah

Setiap jalan-jalan utama dihiasi dengan dekorasi indah pastinya menarik minat kedatangan pelancong. Walaupun di Singapura tidak menjanjikan suasana dingin dan bersalji seperti di negara-negara 4 musim, namun pengalaman bercuti di Singapura pada hujung tahun sememangnya sesuatu yang berbaloi.

Selain boleh membeli-belah pada harga istimewa, anda juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti menarik bersama tersayang!

Ini tiga lokasi yang boleh dilawati jika anda ke Singapura dalam waktu terdekat ini sehinggalah menjelang tahun baharu 2019.

1. Orchard Road

hujung tahun di Singapura
Sumber: Thehoneycombers

Anda boleh menyaksikan Disney Magical Moments-Christmas On A Great Street di sepanjang jalan Orchard. Dimeriahkan dengan dekorasi dunia imaginasi Disney, dapat bergambar kenangan dan pelbagai acara menarik menanti anda sehingga 1 Januari 2019.

Kehadiran Mickey Mouse dan rakan-rakan dari bintang filem animasi Frozen iaitu Princess Elsa, Princess Anna, Olaf dan juga bintang-bintang utama filem animasi Disney yang lain pastinya mencuri perhatian.

Bagi yang membawa anak-anak, boleh singgah di The Great Christmas Village yang terletak di hadapan Ngee Ann City untuk mencuba pelbagai jenis permainan menarik untuk kanak-kanak. Selain boleh bergambar dengan watak-waktak animasi Disney, terdapat juga pokok-pokok Krismas yang dihias cantik.

2. Marina Bay

hujung tahun di Singapura
Sumber: Youtube

Setiap tahun, Marina Bay tidak akan melepaskan peluang membawakan pelbagai aktiviti menarik sempena Krismas dan juga tahun baharu. Juga sempena musim perayaan Krismas, Gardens by The Bay akan dilimpahi dengan kemilau cahaya menakjubkan dengan kemeriahan pelbagai aktiviti mengujakan.

Anda boleh melihat pokok Krismas luminari tertinggi di Asia yang berketinggian 21 meter. Anda akan terkejut dengan cermin maze luminari bersaiz 314 meter persegi yang mempesona pada ketinggian 22 meter.

Selain itu, anda boleh menikmati ‘sajli’ yang akan turun pada setiap malam serta meluncur ais di bawah sinaran bintang. Tiket pula berharga SGD34 (RM103.50) untuk dewasa dan SGD22 (RM67) untuk kanak-kanak.

3. Universal Studios Singapore

hujung tahun di Singapura
Sumber: PassportChop

Taman tema kegemaran ramai ini membawakan tema A Universal Christmas bagi meraikan perayaan Krismas tahun ini. Selain dihiasi dengan dekorasi yang menarik, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang direka khas untuk Krismas.

Taman tema ini mempunyai 11 acara yang telah disusun untuk pengunjung. Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman salji turun sepanjang berada di Universal Studios Singapore.

Watak animasi Universal Studios seperti Minion, Shrek, Puss in Boot, Princess Fona dan rakan-rakan animasi Madagascar akan menemui anda di sana. Bagi tiket lawatan sehari ke sini berharga SGD76 (RM231.30) untuk dewasa dan SGD56 (RM170.40) untuk kanak-kanak.

Apa lagi, ajaklah kawan-kawan atau keluarga berkunjung ke lokasi-lokasi menarik di Singapura hujung tahun ini.

Sumber: Mstar