5 Lokasi Berhantu ‘Underrated’ Di Malaysia Yang Boleh Anda Kunjungi

Di mana-mana dunia pun pasti akan ada lokasi yang paling berhantu atau pun disebut sebagai ‘keras’ termasuklah di Malaysia. Ada diantaranya yang diangkat menjadi lokasi pelancongan untuk mereka yang gemar mencabar diri dengan mengunjungi lokasi-lokasi ini.

BACA: 5 Lokasi ‘Dark Tourism’ Untuk Anda Yang Bukan Hati Tisu

Kami senaraikan lima lokasi berhantu di Malaysia yang ‘underrated’ dan boleh dikunjungi oleh mereka yang terasa ingin mencuba pengalaman melawat lokasi berhantu namun masih tersenarai dalam ‘lokasi terkawal hantunya’.

1. Highland Tower

Sebut sahaja Highland Tower, pasti ramai yang sudah tahu mengenai sejarah bangunan yang sudah dibiarkan lebih dari 25 tahun ini selepas satu daripada tiga bloknya runtuh sehingga mengakibatkan nyawa 48 orang melayang.

Pelbagai kontroversi muncul daripada peristiwa ini, antaranya angka rasmi kematian yang diumumkan adalah berbeza daripada angka sebenar iaitu 55 orang. Terdapat juga dedas desus bahawa bangunan ini akan diruntuhkan pada Jun lalu oleh Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk dijadikan sebagai kawasan rekreasi, namun sehingga kini masih tiada maklumat lanjut mengenainya.

Highland Tower1

Menurut orang sekeliling, semasa peristiwa runtuhnya bangunan ini ada pembantu rumah Indonesia di blok sebelah melihat kelibat dua orang lelaki berjubah putih sedang menggoncang dan menolak bangunan blok yang runtuh itu dengan iringan bacaan Al-Quran daripada keduanya dan yang hairannya, bangunan tersebut turut didakwa runtuh secara menyenget seperti ditolak dan bukannya dalam keadaan menjunam.

Masih kekal misteri hingga hari ini, ramai yang pernah datang ke sini rata-ratanya akan mengalami peristiwa misteri dan menyeramkan seperti melihat kelibat melintas atau pun mendengar suara mengilai.

2. Hospital Lady Templer, Cheras

Dibuka pada 1952, Hospital Lady Templer di Cheras ini sudah lama ditutup iaitu pada tahun 1985. Memberikan rawatan khas kepada pesakit jantung, paru-paru dan batuk kering, hospital ini merupakan hospital pertama di Malaysia yang mengadakan pembedahan jantung.

Jika anda Google sahaja mengenai hospital ini, anda akan jumpa banyak perkongsian kisah misteri kerana katanya hospital ini banyak menempatkan roh-roh yang tidak aman antaranya kelibat wanita mendukung anak, kelibat wanita berambut panjang terapung dan sebagainya.

Lokasi Berhantu Paling Keras Di Malaysia

Hospital ini pernah ditutup dan hanya sebahagian daripada kawasan ini sahaja dibuka dan dijadikan sebagai poliklinik sehingga tahun 1995. Rumah mayat hospital ini juga pernah menempatkan mayat mangsa tragedi 13 Mei 1969. Kini tapak hospital ini dijadikan sebagai Hospital Rehabilitasi Cheras yang sudah memulakan operasi sejak Julai 2012 lalu.

3. Penjara Pudu

Dibina pada tahun 1891, penjara berusia lebih 115 tahun ini banyak menyimpan ‘rahsia’ penghuninya. Sudah dirobohkan pada Disember 2012 bagi memberi laluan kepada projek pembangunan Bukit Bintang Triangle City, Penjara Pudu dibina di atas tapak bekas tanah perkuburan Cina semasa penjajahan British untuk mengurung kira-kira 600 orang banduan.

Lokasi Berhantu Paling Keras Di Malaysia 1

Rata-rata daripada mereka yang pernah bertugas dan ‘menginap’ di sana akan menceritakan kisah mesteri yang berlaku pada mereka antaranya disakat bayangan lembaga hitam yang merenung tajam, kanak-kanak berlari, perempuan cantik yang berjalan sendirian di tengah-tengah lorong penjara serta bola api yang melintas laju.

Antara versi yang yang paling seram ialah potret diri sendiri yang dilukis oleh seorang wanita dikatakan akan mengeluarkan cahaya pada waktu tengah malam malah yang akan ke tali gantung turut ditemani dengan tangisan potret tersebut.

4. Muzium Telekom

Dikenali sebagai Muzium Telekomunikasi Negara, bangunan yang terletak di antara Jalan Raja Chulan dan Jalan Gereja, Kuala Lumpur ini dibina bagi menempatkan ibusawat telefon manual jenis central battery. Dibina pada tahun 1928, bangunan berciri senibina Greek ini dikatakan pernah menjadi markas perancangan Jepun semasa Perang Dunia Ke-2.

Di bawah bangunan ini terdapat satu terowong yang digunakan sebagai kawasan menyembunyikan diri selain daripada menjadi lokasi pembuangan mayat oleh tentera Jepun pada suatu ketika dahulu. Antara kelibat yang paling popular di sini ialah kelibat kanak-kanak yang bermain sendirian pada lewat malam dan awal pagi selain daripada bunyi orang berkawad.

5. Victoria Instituition

Victoria Instituition (VI) merupakan salah satu bangunan sekolah tertua di Kuala Lumpur. Menurut sumber, bangunan ini pernah menjadi kubu tawanan Jepun yang mana lokasi ini dijadikan sebagai lokasi pembuangan mayat dan penyeksaan mayat.

Dilabel sebagai sekolah berhantu, VI yang ditubuhkan pada tahun 1893 bukan sahaja kaya dengan warisan dan tradisinya malah turut kaya dengan kisah-kisah misteri yang pelbagai. Antaranya ‘terowong; misteri yang perlu dilalui untuk ke kelas muzik, kelibat di menara jam serta mayat tergantung di pintu tandas.

Lokasi Berhantu Paling Keras Di Malaysia 3

Daripada lima lokasi berhantu underrated yang kami senaraikan di atas, mana satu yang anda paling berani untuk kunjung?

 

 

 

 

 

 

di Laguna semua ada, serba serbi lengkap.

Percutian Eksklusif Di Laguna Redang Island Resort, Terengganu

dan jangan lupa subscribe YouTube MAKANLENA.