5 Resipi Olahan Sardin Dalam Tin Selain Buat Sambal

Resipi sardin dalam tin

Keunikan masakan di Malaysia terdiri daripada pelbagai jenis dan rasa. Sardin dalam tin tidak kurang enaknya kalau kita kreatif mengolah resipi dan dijadikan pelbagai menu hidangan lain.

Selalunya apabila hendak memasak sardin dalam tin, yang terlintas sama ada sambal ataupun masak kicap.

Buat penggemar sardin, anda boleh menggunakan resipi ringkas ini untuk membuat hidangan tengah hari mahupun malam lebih menarik.

1. Sardin Asam Pedas

Sardin Asam Pedas
Sumber: Mstar

Bahan-bahan:

1 tin besar ikan sardin atau mackerel | asingkan isi ikan dari kuah
4 biji bendi
1 biji tomato | belah empat
1 kuntum bunga kantan | belah dua
3 pucuk daun kesum
1/2 cawan air asam Jawa
Air secukupnya
2 sudu makan pes cili kering
Garam dan gula secukup rasa
4 sudu makan minyak masak

Bahan kisar:

1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 cm halia
2cm lengkuas

Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan pes cili, kacau lagi hingga pecah minyak.
3. Masukkan pula air asam Jawa, biarkan mereneh seketika baru masukkan ikan.
4. Seterusnya masukkan kacang bendi, bunga kantan dan daun kesum.
5. Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Biarkan mereneh seketika sehingga timbul minyak. Tutup api, sedia dihidangkan.

2. Sardin Percik

Sardin Percik
Sumber: Rasa

Bahan-bahan:

1 tin besar ikan sardin | asingkan kuah dan isinya

Bahan kuah percik:

500ml santan kotak
1 batang serai | titik
1 keping asam gelugor
1/2 helai daun kunyit | carik dan simpul
5 tangkai cili kering | kisar
4 ulas bawang merah | kisar
2 ulas bawang putih | kisar
2 cm halia | kisar
2 biji buah keras | kisar
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:

1. Bakar ikan sardin menggunakan ketuhar atau pemanggang. Setelah garing angkat dan ketepikan.
2. Untuk menyediakan sos, campurkan semua bahan kisar bersama santan.
3. Didihkan di atas dapur dengan api sederhana.
4. Setelah mendidih masukkan asam gelugor, serai dan daun kunyit. Kacau hingga kuah pekat.
5. Kecilkan api, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
6. Setelah timbul minyak. Tutup api dan hidangkan ikan sardin bakar tadi dengan sos percik.
7. Hidangkan sardin bakar dengan sos berasingan atau dituang terus di atas ikan.

3. Telur bungkus sardin

Telur Bungkus Sardin
Sumber: Rasa

Bahan-bahan:

1 tin sedang ikan sardin | asingkan dari kuah
Sedikit cili benggala | dadu halus
1 pokok daun bawang | hiris halus
1/2 biji buah tomato | dadu halus
1/2 biji bawang Holland | dadu halus
1 biji bawang putih | cincang halus
1 sudu makan pes cili kering
Garam dan gula secukup rasa
1 sudu makan minyak masak

Bahan telur dadar:

2 – 3 biji telur
Secubit garam
Secubit serbuk lada sulah

Cara memasak :

1. Hancurkan isi sardin dalam mangkuk, kemudian ketepikan.
2. Panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang Holland hingga layu.
3. Masukkan pes cili, kacau hingga pecah minyak. Seterusnya masukkan sardin, cili benggala dan tomato, kacau rata.
4. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Setelah kuah kering, tutup api.
5. Sediakan pula telur dadar, pecahkan telur dalam mangkuk. Masukkan sedikit garam dan lada sulah, kacau rata.
6. Panaskan kuali non stick dengan sedikit minyak. Tuang telur dan dadarkan ikut saiz sesuai dengan isi sardin tadi.
7. Setelah garing, letakkan isi sardin di tengahnya, kemudian lipat bahagian tepi hingga menjadi bentuk empat segi sama. Angkat dan sedia dihidangkan.

4. Kerabu Sardin

Kerabu Sardin
Sumber: Resipi Miker

Bahan-bahan:

Sardin tin | isi dan kuah diasingkan
Bawang besar | dihiris
Cili padi | dihiris
Cili besar | dihiris
Tomato | dihiris
Asam keping
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Carik kasar isi ikan sardin dan gaulkan dengan semua bahan diatas.
2. Tambah sedikit kuah sardin. Gaul rata.
3. Kalau nak masak dulu sardin tu pun ok. Ikut citarasa. (empunya resipi masak dulu sardin sekejap).
4. Sedia untuk dinikmati.

*Jika suka, boleh tambah hirisan ulam raja, bunga kantan, daun selom atau ulam-ulam yang lain.

5. Masak Lemak Cili Api Sardin

Sardin Dalam Tin Masak Lemak
Sumber: Namakucella

Bahan-bahan:

Sardin tin | isi dan kuah diasingkan
3 biji kentang dibelah
20 tangkai cili padi*
1 biji bawang besar*
Sedikit belacan*
1 sudu kecil serbuk kunyit*
1 kotak santan kecil
2 keping asam keping
Garam dan perasa

Cara memasak:

1. Kisar bahan bertanda (*). Kemudian rebus kentang sehingga empuk.
2. Dalam periuk, masukkan bahan kisar, santan dan kentang yang direbus tadi.
3. Seterusnya, masukkan asam keping. Didihkan atas dapur, perasakan dengan garam.
4. Akhir sekali, masukkan ikan sardin dan kuahnya dalam 2 sudu makan. Biarkan mendidih dalam 10 minit.

Mudah dan nampak sedap bukan? Selamat mencuba!

Kalau tak mahu guna sardin dalam tin, boleh juga cuba buat sardin ‘homemade’.