6 Lokasi Pelancongan Eko Rimba Terengganu Yang Wajib Anda Terokai

Sumber: Beautiful Terengganu

Selain merancakkan program pelancongan di pusat-pusat peranginan, Terengganu juga komited untuk memfokuskan berasaskan eko rimba bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu. Terengganu akan menyalurkan peruntukan lebih besar untuk kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara taman eko rimba bagi memastikan ia lebih tersusun dan terjaga.

Produk pelancongan Terengganu memiliki 6 taman eko yang dikawal selia Jabatan Perhutanan Negeri iaitu Hutan Lipur, Hulu Terengganu; Lata Tembakah dan Lata Belantan, Besut; Air Terjun Chemerong dan Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun; serta Air Terjun Menderu, Kertih. Kesemua taman tersebut menerima kunjungan orang ramai setiap minggu.

Berdasarkan rekod, Hutan Lipur Sekayu dari Mac hingga Oktober tahun 2018 menerima kunjungan sebanyak 40,000 orang berbanding 21,000 pengunjung bagi tempoh sama tahun lalu. Ia menunjukkan orang ramai sudah menggemari pelancongan kawasan hutan untuk bersantai.

Salah satu kawasan berkelah air terjun yang terkenal di Terengganu iaitu Hutan Lipur Sekayu atau juga dikenali sebagai Air Terjun Sekayu, Kuala Berang. Air Terjun di sini memberikan pengalaman menarik dengan bunyi-bunyi unggas dan aliran air terjun yang deras yang pastinya memberi pengunjung ketenangan.

taman eko rimba terengganu
Sumber: Beautiful Terengganu


Lata Tembakah

Hutan Lipur Lata Tembakah, Besut menyediakan beberapa kemudahan disediakan seperti chalet, tapak perkhemahan, jambatan gantung, pondok informasi dan lorong pejalan kaki. Lata Tembakah terkenal dengan keindahan panorama air terjun 7 tingkat sesuai untuk pengunjung yang gemar aktiviti merentas hutan dan kedinginan airnya membuatkan pengunjung tidak puas untuk bermandi-manda.

taman eko rimba terengganu
Sumber: Pelancongan Sumber Asli

Lata Belantan

Lata Belantan merupakan Hutan Simpan Gunung Tebu yang memerlukan pengunjung mendapatkan kebenaran Pegawai Penguasa untuk adakan aktiviti atau bermalam di sini. Air Terjun Lata Belantan popular dalam kalangan pendaki kerana kawasan di sini merupakan laluan utama untuk pendakian ke Gunung Tebu.

Hutan lipur di sini juga menyediakan kemudahan berkonsepkan Forest Camping Holiday seperti astaka, tandas awam, surau, jambatan gantung, tapak perkhemahan dan pondok pengawal. Satu denai hutan disediakan bagi pendaki menuju ke puncak Gunung Tebu dengan ketinggian 1,097 meter dari aras laut ini mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai ke puncak.

Air Terjun Lata Belantan juga terkenal dengan kejernihan sungai yang dikatakan sama seperti Emerald Pool di Krabi!

taman eko rimba terengganu
Sumber: [email protected]
taman eko rimba terengganu
Sumber: Travel Guide

Air Terjun Chemerong

Air Terjun Tertinggi di Asia Tenggara iaitu setinggi 305 meter ini dapat dilihat sepanjang jalan menuju Hutan Lipur Chemerong. Khazanah alam semula jadi ini kaya dengan pokok herba dan hidupan fauna.

Lokasinya terletak agak jauh di kawasan pendalaman, tetapi masih ramai pengunjung yang sanggup datang untuk berkelah atau berkhemah. Air terjun di sini juga terkenal untuk mereka yang adakan trip mendaki CBL (Chemerong-Berembun-Langsir).

taman eko rimba terengganu
Sumber: Beautiful Terengganu

Taman Rimba Bukit Bauk

Terletak di Daerah Dungun, Taman Rimba Bukit Bauk dari Bandar Dungun bersesuaian untuk aktiviti merentas hutan dan bersenam dengan latar belakang pemandangan hijau. Kawasan hutan ini menyediakan kemudahan seperti pusat penerangan, trek joging, tandas, surau dan dataran hijau.

Hutan yang berusia 355 tahun ini merupakan hutan asli dalam bandar yang terbesar dalam Malaysia. Hutan ini menyimpan pelbagai spesis flora dan fauna yang mana ia memberi pengunjung yang datang bersenam merasai kedamaian suasana alam.

taman eko rimba terengganu
Sumber: Yushairi

Air Terjun Menderu

Air Terjun Menderu merupakan salah satu air terjun popular di Daerah Kemaman yang terletak di Hutan Simpan Rasau Kerteh di Kampung Chabang. Pengunjung yang datang di sini kebiasaannya akan bermandi-manda di anak sungai hutan lipur ini.

Sama juga seperti taman eko rimba yang lain, hutan lipur di sini menyediakan kemudahan berkelah, aktiviti berkhemah dan merentas hutan sambil memerhati hidupan liar. Pengunjung juga berpeluang melawat Taman Botani di bawah jagaan Pejabat Hutan Daerah Selatan Terengganu.

taman eko rimba terengganu
Sumber: Hitam Putih Warna Warni

Ayuh rancang percutian anda di taman eko rimba yang terdapat di Terengganu ini. Anugerah alam ini perlulah dijaga dan dipulihara untuk generasi akan datang agar terkenal sebagai produk pelancongan bukan sahaja di Terengganu dan Malaysia, malah di serata dunia.

Kesemua taman eko rimba yang disenaraikan ini selamat untuk pengunjung bemandi-manda kerana bebas daripada wabak kencing tikus.

Sumber: Astro Awani