Arm-A-Dine Bantu Mereka Yang ‘Malas’ Makan

Arm-A-Dine
Sumber: Designboom

Anda terlalu malas untuk menyuap makanan pada mulut? Jangan risau, masalah anda kini boleh diatasi dengan Arm-A-Dine, robot ciptaan dari kerja penyelidikan Exertion Games Lab oleh para penyelidik Australia dan India di Universiti RMIT, Australia dan Institusi Reka Bentuk Teknologi Maklumat, India yang boleh mengambil makanan di atas meja dan menyuapkan pada mulut anda!

Fungsi utama penciptaan Arm-A-Dine ini bukanlah untuk menyuap makanan kepada anda sehingga ‘senak’, tetapi mewujudkan suasana sosial semasa menikmati hidangan makanan. Dunia masa kini dirasakan semakin ‘sunyi’ apabila manusia masih lagi sibuk dengan telefon pintar ketika tiba waktu makan sehingga tidak mempedulikan keadaan sekeliling.

Arm-A-Dine akan menjadikan suasana makan anda lebih menyeronokkan kerana ia akan menyuapkan makanan kepada individu pilihannya. Robot yang diikat di kawasan dada ini akan mengimbas riak muka anda dan pasangan melalui aplikasi di telefon pintar:

1. jika anda mengerutkan dahi, anda akan dapat makanan
2. jika pasangan anda tersenyum, mereka akan dapat makanan
3. jika riak muka anda neutral, tangan robot ini akan berdiri di tengah

Kerana limitasi yang dihadapi terutama dalam mendapatkan bahan ciptaannya, Arm-A-Dine ini bukanlah projek yang dikomersialkan. Ia hanya boleh memegang bahan-bahan tertentu selain daripada mempunyai pergerakan yang terhad (berhenti 10cm dari mulut untuk faktor keselamatan) dan ketidak tepatan semasa mahu menyuapkan makanan.

Penguji yang menguji robot ini memberikan maklum balas bahawa menggunakan robot ini berjaya membangkitkan nostalgia disuap ibunya ketika kecil dan memberikan tumpuan sepenuhnya ketika makan. Maklum balas mereka membuktikan bahawa fungsi robot ini sudah berjaya dicapai kerana mereka menikmati kekurangan dan limitasi yang dihadapi ketika menggunakannya.

Kalaulah robot ini sudah dijual dan masuk ke pasaran Malaysia, pasti ramai golongan yang ‘malas’ makan akan beli. Arm-A-Dine ini boleh juga menjadikan suasana meja makan lebih meriah bila ramai-ramai kan?

Sumber: The Verge