Asbab Taufan Jebi, Penerbangan AirAsia Dan Malaysia Airlines Ke Osaka Dibatalkan

Kredit: Channel News Asia

Dua syarikat penerbangan dari Malaysia, AirAsia dan Malaysia Airlines telah membatalkan perjalanan ke dan dari Osaka, Jepun akibat taufan Jebi yang melanda barat Jepun. Taufun buruk ini telah membawa ancaman hujan lebad, tanah runtuh, dan banjir di beberapa kawasan yang mengakibatkan 6 orang terbunuh serta lebih 3,000 pelancong terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.

AirAsia telah membatalkan 11 penerbangan bermula 3 September sehingga 6 September disebabkan penutupan lapangan terbang ketiga terbesar negara matahari terbit tersebut. Pembatalan ini telah memberi kesan kepada penerbangan dari Osaka ke Honolulu, Amerika Syarikat, ke Kuala Lumpur, Malaysia, dan ke Bangkok, Thailand.

Menurut laman sesawang AirAsia, pelanggan yang telah menempah tiket pada tempoh penerbangan yang disebutkan ke dan dari Osaka boleh membuat satu daripada empat pilihan pemulihan. Mereka boleh memilih untuk turun di lapangan terbang Narita, Tokyo atau di lapangan terbang New Chitose, Sappporo dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerbangan mereka kecuali ke dan dari Honolulu.

Mereka juga diberi pilihan untuk menyimpan nilai belian tiket mereka di akaun AirAsia BIG dan boleh menebus semula dalam tempoh 90 hari ataupun boleh juga untuk buat tuntutan bayaran balik.

Kesemua pilihan ini adalah berdasarkan ketersediaan tempat duduk. Maklumat lanjut boleh layari support.airasia.com.

Bagi Malaysia Airlines pula, seperti tertera di laman sesawang mereka, satu penerbangan MH052 dari Kuala Lumpur ke Osaka pada 4 September telah dibatalkan, namun dijangkakan akan berlaku gangguan penerbangan untuk tarikh berikutnya sehingga 9 September.

Dinyatakan bahawa pelanggan yang menerima kesan daripada pembatalan penerbangan daripada mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik, menunda penerbangan ataupun meneruskan penerbangan ke lapangan terbang Narita, Tokyo.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian perkhidmatan Malaysia Airlines di 1 300 88 3000 untuk dalam Malaysia atau ke +603 7843 3000 bagi yang berada di luar Malaysia.

Taufan Jebi yang membawa maksud ‘menelan’ dalam bahasa Korea telah melanda barat Jepun semalam. Menurut agensi berita antarabangsa, Reuters, ribut ini merupakan antara yang terkuat melanda Jepun semenjak 25 tahun.

Sumber: MalayMail