Bahaya Guna Telur Tamat Tempoh, Hati-Hati Jika Temui 4 Tanda Ini

Tanda Telur Tamat Tempoh

Kejadian keracunan makanan daripada puding buih baru-baru ini adalah disebabkan daripada telur tamat tempoh.

Keputusan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu mendapati, penggunaan telur tamat tempoh punca utama 99 orang menghadapi kes keracunan puding buih.

Bertambah buruk lagi, pengusaha puding buih dikesan tidak mempunyai lesen perniagaan dan tidak melakukan suntikan vaksin penyediaan makanan. Seorang mangsa keracunan puding buih terbabit meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa di hospital.

Ketahuilah bahawa telur mempunyai selaput protein nipis yang wujud secara semulajadi yang dipanggil sebagai cuticle.

Selaput berkenaan bertujuan melindungi kandungan dalam telur daripada dicemari oleh bakteria. Kulit telur pula mempunyai liang-liang halus di seluruh permukaan bagi menahan kemasukan bakteria dan udara dari persekitaran.

Menurut satu kajian saintifik, tahap kualiti selaput perlidungan itu mempengaruhi tahap kesegaran telur tersebut. Telur lama atau telur tamat tempoh akan mempunyai selaput perlindungan yang nipis serta liang-liang halus di permukaan kulit yang semakin terbuka.

Keadaan tersebutlah sebenarnya yang akan menyebabkan telur mudah dicemari oleh bakteria. Risiko utama apabila makan telur tamat tempoh adalah berlaku jangkitan bakteria Salmonella sehingga boleh menyebabkan cirit-birit, muntah dan demam.

Kami berikan 4 mudah untuk mengenal pasti telur masih selamat untuk digunakan atau tidak.

1. Hidu aroma bau telur

Telur yang sudah rosak akan mengeluarkan bau busuk atau lebih mudah dipanggil telur tembelang (telur busuk).

Segeralah buang telur yang mengeluarkan bau busuk atau tidak menyenangkan.

2. Rendam telur dalam air

Ini merupakan teknik yang paling popular iaitu dengan merendam telur dalam semangkuk air sejuk dan lihat sama ada telur tersebut tenggelam atau terapung.

Telur segar akan tenggelam di dasar air manakala telur lama akan terapung di permukaan. Semakin lama usia telur itu, semakin banyak udara yang memasuki telur melalui liang-liang halus tadi dan menyebabkan telur semakin mudah untuk terapung.

Tanda Telur Tamat Tempoh

3. Lihat tarikh luput telur

Kebanyakan telur yang dijual di pasaraya sekarang ini selalunya telah dibungkus dan ditandakan dengan tarikh luput. Tidak kiralah pada kotak bungkusan atau permukaan kulit telur itu sendiri.

Tapi agak sukar pula apabila membeli telur di kedai runcit atau pasar borong kerana biasanya tiada tarikh luput diletak.

Jalan penyelesaiannya, silalah bertanya kepada penjual tersebut mengenai tarikh luput telur tersebut, sekurang-kurang tarikh itu dapat dijadikan rujukan kepada si pembeli.

4. Lihat keadaan kuning dan putih telur

Warna kuning telur yang masih elok lebih terang dan masih terbentuk elok apabila dipecahkan. Berbeza dengan telur rosak, warna kuningnya lebih pucat dan menjadi ‘pecah’ selain daripada warna putihnya yang tidak likat seperti biasa.

Paling penting, apabila mahu menggunakan telur ayam untuk masak perlulah basuh dahulu.

Sumber: Sinar Plus