Bahaya Microsleep! Waktu Bilakah Patut Elak Ketika Memandu?

waktu elak microsleep

Bermula minggu hadapan, ramai perantau yang akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman.

Anda salah seorang yang ‘dilantik’ sebagai pemandu? Jika ya, pastikan diri cukup rehat mental dan fizikal lebih-lebih lagi bagi mereka yang bakal menghadapi perjalanan jarak jauh untuk mengelakkan kejadian terlelap semasa memandu atau microsleep.

Masih ingat lagi insiden kemalangan maut meragut nyawa pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban? Ia ada kaitan dengan microsleep berikutan pemandu iaitu suaminya mengaku mengantuk ketika memandu.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Datuk Dr S Ravih berkata microsleep terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlakunya kemalangan di jalan raya kerana apabila badan keletihan, otak akan tertidur selama beberapa saat, walaupun mata anda terbuka dan tangan memegang stereng.

Microsleep terjadi tanpa amaran, apabila badan letih, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat, walaupun mata kita terbuka dan tangan memegang stereng.

Lazimnya potensi menjadi mangsa microsleep adalah apabila memandu jarak jauh, ditambah faktor lain seperti:

1. Waktu pemanduan
2. Kondisi kesihatan dan kecergasan pemandu
3. Bentuk dan permukaan jalan raya serta keadaan cuaca boleh menyebabkan mengantuk kerana ketika itu segala input daripada deria penglihatan dan pendengaran sudah tidak dapat diproses otak.

waktu elak microsleep
Sumber: Malaysia Kini

Simptom seseorang itu mungkin bakal menjadi mangsa microsleep ialah lambat bertindak balas terhadap sebarang maklumat, pandangan kosong, mata berkelip lebih kerap, menguap berlebihan dan tersentak tiba-tiba.

Jadi, waktu apakah yang paling sesuai untuk ada pulang memandu kenderaan?

Menurut Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia (PSAM), Prof Madya Dr Louis Adaikalam, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada memandu pada waktu di antara pukul 2 hingga 4 petang dan 3 hingga 5 pagi.

Tempoh tersebut merupakan waktu puncak untuk seseorang itu mengantuk sekali gus boleh membawa kepada kemalangan jalan raya yang berpunca daripada masalah microsleep.

Maka, buat anda yang akan memandu lama nanti, ikuti nasihat dan panduan ini. Jika tidak dapat dielakkan memandu waktu itu, rehat sekejap dengan tidur selama 15-20 minit.

Pandu cermat, jiwa selamat.

Sumber: Astro Awani, Harian Metro