Beranikah Anda Mencuba Aiskrim Telur Buaya?

Sebut sahaja makanan dari benua Asia, tentunya anda terfikir sajian-sajian yang pelik di fikiran seperti otak monyet, sotong kurita mentah dan macam-macam lagi. Di Filipina, aiskrim telur buaya menjadi tarikan para pelancong kerana aiskrim biasanya dibuat menggunakan yogurt atau gelato tetapi ini menggunakan bahan yang asing iaitu telur buaya.

Taman Buaya Davao, Filipina membuka gerai di tempat tarikan pelancong itu yang menjual aiskrim telur buaya. Sebut sahaja Aiskrim Telur Buaya pasti anda terfikir yang aiskrim ini akan berperisa daging buaya bukan? Para pelancong usah risau kerana kandungan pada telur ini seakan-akan sama dengan telur ayam tetapi saiznya yang berbeza dan kandungan telur kuning yang lebih banyak iaitu sebanyak 80% berbanding telur putih yang hanya mempunyai 20% sahaja. Telur ini tidak mengandungi daging buaya dan selamat untuk dimakan.

Menurut pemilik pembuat aiskrim ini, penggunaan telur buaya dalam aiskrim membuatkan aiskrim ini lebih sedap dan berkrim berbanding dengan aiskrim biasa kerana kandungan telur kuning dalm telur buaya yang lebih banyak berbanding telur ayam. Bahan-bahan yang biasa digunakan untuk membuat aiskrim biasa turut digunakan seperti buah-buahan segar, susu, gula dan madu untuk menghasilkan aiskrim yang unik ini. Aiskrim ini terdapat beberapa perisa yang boleh dipilih seperti buah naga, avokado, durian, kopi, mangga, strawberi, pandan, vanilla, nangka dan keju.

Menurut pemilik kedai ini, mereka tidak tahu mahu buat apa dengan telur-telur buaya daripada pakciknya. Jadi, mereka memutuskan untuk mencuba menghasilkan aiskrim yang unik ini untuk dijualkan kepada para pelacong dan menamakan aiskrim ini Aiskrim Telur Buaya Davao. Mereka turut menyatakan bahawa telur buaya ini lebih berkhasiat berbanding dengan telur ayam kerana kandungan protein yang lebih banyak. Hal ini akan membuatkan aiskrim tersebut kaya dengan rasa dan susah untuk berhenti apabila anda mula mencubanya.

Kepada sesiapa yang minat untuk mencuba makanan-makanan unik seperti ini, bolehlah masukkan Taman Buaya Davao yang terletak di Filipina ini sebagai salah satu tempat yang wajib untuk dilawati. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Sambil-sambil melihat buaya di sekitar taman itu bolehlah menikmati aiskrim telur buaya sekali.