Bosan Hanya Duduk Di Rumah, Pemuda Ini Kongsikan Cara Mudah Buat Keropok Lekor Sendiri

Cara Buat Sendiri Keropok Lekor
Sumber: Twitter

Gerai-gerai di tepi jalan kini semua ditutup bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 ini, termasuklah gerai yang menjual keropok lekor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.

Waktu begini pula tekak teringin nak makan keropok lekor. Nak keluar rumah pun sukar, jadi alternatif mudah kita buat sendiri keropok lekor di rumah.

keropok lekor Terengganu
Sumber: Blog Traveloka

Sebelum itu, sedikit maklumat tentang sejarah keropok lekor, makanan tempatan ini lebih dikenali sebagai ‘kepok gote’ dalam kalangan penduduk Terengganu, diperbuat daripada ikan dan sagu yang diadun menjadi satu adunan lembut. Kemudian digentel menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus.

Sudah memahami sedikit sejarah tentang keropok lekor ini, jom kita lihat cara buat sendiri keropok lekor di rumah yang dikongsikan oleh @aminlandak di Twitter. Sangat mudah dan boleh buat sendiri sebanyak mana yang kita mahu.

1. Untuk membuat keropok lekor, beliau menggunakan ikan sardin kerana ia lebih sedap dibuat keropok.

2. Pertama, asingkan isi ikan dengan tulang kerana kita hanya mahu isi ikan sahaja.

Cara Buat Sendiri Keropok Lekor
Sumber: Twitter

3. Setelah siap mengasingkan isi ikan, kisarkan isi ikan bersama sedikit air dan ais. Jika tiada pengisar, boleh gunakan lesung batu sehingga isi ikan tersebut hancur.

*Perlu masukkan ais bersama dalam pengisar untuk memudahkan doh daripada melekat dan bertindak sebagai ‘bilah pisau’ yang tajam membantu memperhalusi bahan yang kita kisar.

Cara Buat Sendiri Keropok Lekor
Sumber: Twitter

4. Setelah isi ikan dikisar lumat, masukkan garam secukup rasa, tepung ubi dan tepung gandum sedikit demi sedikit kemudian gaul sehingga adunan sebati. Pastikan adunan tidak lembik atau terlalu keras.

Cara Buat Sendiri Keropok Lekor
Sumber: Twitter

5. Seterusnya, gentel adunan tadi sehingga menjadi rupa bentuk keropok yang dijual di pasar. Sementara menggentel adunan tadi, siapkan air rebusan dan tambah garam dalam air jika adunan anda tidak cukup rasa.

6. Apabila adunan keropok sudah dibentuk, masukkan di dalam air rebusan tadi. Tunggu sehingga keropok masak.

7. Setelah siap direbus, sudah boleh dimakan atau pun jika mahu jenis goreng, pastikan keropok tenggelam dalam minyak.

Cara Buat Sendiri Keropok Lekor

Jika ada lebihan, bolehlah di simpan untuk masak di kemudian hari. Tapi, pastikan tidak simpan terlalu lama ya.

Sangat mudah bukan? Selamat mencuba!