Cat Tangga Kuil Batu Caves Menyalahi Akta

batu caves

Baru beberapa hari lepas tular di media sosial tentang warna baharu dan menarik tangga di kuil Sri Mahamariamman, Batu Caves. Warna yang diasaskan oleh warna Rangoli ini berjaya menarik minat ramai netizen dengan pelbagai komen.

Terbaharu, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Yang Berhormat Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik berkata Jabatan Warisan Negara akan menghantar surat amaran kerana mereka melanggar Seksyen 40 Akta Warisan Negara 2005.

Menurut beliau lagi, jawatankuasa pengurusan kuil telah diarah menyediakan laporan untuk tindakan susulan. Beliau berkata pegawainya ada menasihati pengurusan bangunan mengenai kerja ubah suai dan melukis di tapak warisan memerlukan kelulusan jabatan itu.

“Sebenarnya sebelum permohonan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Selayang, mereka mesti mendapat lampu hijau daripada jabatan ini dulu”.

Beliau berkata Seksyen 40 jelas menyebut sebarang pengubahsuaian di tapak warisan mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.

Namun, Bakhtiar mengakui usaha menyahsenarai kuil itu sebagai bukan tapak warisan bukan mudah dan mengambil kira masa.

“Tetapi kita mesti hormat peraturan dan patuh padanya,” katanya, yang berharap amaran itu terpakai kepada semua pemilik bangunan warisan negara.

Barulah kami tahu bahawa terdapat akta yang melindungi warisan kebangsaan ini. Apa kata anda?

Sumber: Projek MM