Halal Dan ‘Pork Free’, Apa Bezanya?

Beza No Pork Dan Halal
Sumber: WOB

Sudah menjadi trend apabila tularnya sesebuah restoran yang menghidangkan makanan unik dan nampak menyelerakan, pasti ramai akan berpusu-pusu tidak melepaskan peluang mengunjunginya.

Pengguna kebanyakannya terpengaruh dengan persekitaran premis yang bersih, malah ada yang menggunakan tenaga pekerja wanita Islam bertudung bagi mengaburi mata pembeli.

Apabila sesuatu makanan atau minuman itu tular, orang ramai tidak berfikir panjang dan sanggup food hunting premis makanan yang tular itu tanpa selidik sama ada premis berkenaan mempunyai sijil halal atau sebaliknya dan asalkan label pork free (tiada khinzir) terpampang, sudah dianggap halal untuk dinikmati.

Namun, benarkah makanan tersebut halal untuk dinikmati? Menurut jurulatih dan perunding Industri Halal, Bilal Jailani berkata restroan atau premis makanan yang mempamerkan papan tanda pork free itu tidak semestinya halal. Untuk pengetahuan semua, halal dan no pork atau pork free, ia dua perkara yang berbeza.

Halal bermaksud apabila restoran atau premis makanan itu bebas daripada menyediakan masakan berasaskan khinzir, arak dan haiwan darat yang tidak disembelih serta peralatan yang digunakan dalam penyediaan masakan bebas daripada najis.

Manakala, no pork pula hanya satu bentuk makluman bahawa kedai berkenaan tidak menjual makanan berasaskan daging khinzir. Tidak semestinya kedai atau premis makanan yang memaparkan logo no pork itu boleh kita anggap sebagai menjual makanan halal.

Beza No Pork Dan Halal
Sumber: Kapital

Ini berkait rapat dengan soal halal dan haram serta syubhah (ragu-ragu). Halal itu jelas, haram juga jelas tetapi syubhah adalah antara kedua-duanya.

Dalam hal syubhah, Rasulullah SAW menuntut setiap umatnya meninggalkan perkara tersebut kerana kecenderungannya kepada hukum haram. ALLAH SWT berfirman:

“Wahai sekalian manusia, makan daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik…” (Surah al-Baqarah: 168).

Ada antara pengusaha mengiklankan produk mereka dengan perkataan yang mengelirukan seperti mereka menggunakan bahan halal walaupun tidak mempunyai sijil halal JAKIM. Sebenarnya, tindakan pengusaha mempamerkan sijil halal luar negara pada premis adalah salah kerana ia bukan sijil daripada Malaysia.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan berita tular di media sosial, sebaliknya perlu merujuk kepada pihak berautoriti dalam isu halal.

Sumber: Berita Harian, Harian Metro