Hanya 35 Daripada 200,000 Kenderaan E-Panggilan Jalani Pemeriksaan Puspakom

e-panggilan Puspakom
Sumber: Ismaweb

Kerajaan telah mengumumkan semua pemandu perkhidmatan e-panggilan seperti Grab perlu mendaftar lesen memandu kenderaan awam (PSV) seperti pemandu teksi.

Pemandu yang memenuhi syarat memohon lesen PSV boleh mendaftar di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (EHO) yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 April.

Kadar yuran yang telah ditetapkan oleh kerajaan adalah sebanyak RM200 bagi modul latihan PSV selama 6 jam. Hanya 35 daripada 200,000 buah kenderaan atau 0.02% yang menjalani pemeriksaan di Puspakom sejak 1 April lepas menurut ketua pegawai eksekutif, Shukor Ismail.

Katanya, bilangan tersebut agak mengecewakan walaupun kerajaan hanya memberi tempoh sehingga 12 Julai 2019. Puspakom telah melanjutkan waktu operasi kepada tujuh hari seminggu di 19 cawangannya terpilih untuk kemudahan pemandu kenderaan e-panggilan.

“Ini bagi mengelak sebarang kesulitan seperti tidak mendapat kelulusan dalam tempoh yang ditetapkan atau kesesakan pada saat-saat akhir.”

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, beberapa tindakan, termasuk amaran akan dikenakan terhadap pemandu e-panggilan yang beroperasi tanpa lesen PSV selepas 12 Julai depan.

Menurut beliau lagi, dengan pendapatan ribuan ringgit sebulan, tetapi tidak mahu menduduki kursus PSV dengan bayaran RM100 ke RM200 untuk memilikinya, maka tiada alasan untuk pemandu e-panggilan tidak memiliki lesen PSV.

e-panggillan pemeriksaan Puspakom

Dalam peraturan baharu, pemandu e-panggilan mesti mendaftar dan memiliki lesen PSV, selain memiliki insurans untuk kereta, manakala kenderaan melebihi 3 tahun perlu membuat pemeriksaan dengan Puspakom.

Daripada 200,000 pemandu e-panggilan, 150,000 adalah pemandu sambilan, manakala selebihnya adalah pemandu sepenuh masa.

Nampaknya masih ada segelintir pemandu yang berat hati dan kurang bersetuju dengan peraturan ini. Tetapi dengan penguatkuasaan sebegini, ia memberikan keselamatan yang lebih terjamin untuk penumpang.

Namun bagi pemandu e-panggilan, jumlah mereka yang terlalu ramai membuatkan kos pendaftaran ini agak tinggi untuk ditanggung.

Bagi pemandu, sejumlah 25% dari pendapatan mereka diambil oleh penyedia perkhidmatan e-panggilan adalah sangat tinggiI dan tidak termasuk kos penyelenggaraan kereta dan juga kos petrol.

Sumber: FMT, SoyaCincau