Ini Bukti Perlis Tidak Kurang Hebat Berbanding Thailand

tempat menarik perlis
Sumber: Bajuwarnacoklat

Negeri yang terkenal dengan buah mangga harum manis terletak di hujung utara semenanjung dan merupakan negeri terkecil di Malaysia. Perlis juga merupakan negeri transit bagi pelancong yang ingin ke Thailand atau Langkawi.

Melihat pada itu, Perlis kurang diberi perhatian dan ini menyebabkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pelancong perlu singgah bermalam sekurang-kurangnya untuk satu malam kerana negeri itu juga turut memiliki keindahan dan tarikan tersendiri.

Ia satu kelebihan untuk Perlis meskipun negerinya kecil berbanding negeri-negeri lain di tanah air kita kerana boleh dikatakan kita mampu menjelajah seluruh Perlis dalam satu hari!

Perlis juga ada pelbagai destinasi pelancongan selain turut menawarkan keenakan makanan tradisinya contohnya seperti Gua Kelam, Taman Ular, Taman Negeri, Kuala Perlis dan Padang Besar. Rata-rata yang merantau ke Thailand hanya disebabkan Thailand terkenal dengan pelbagai juadah tepi jalan yang menarik.

Jika pergi melancong, haruslah kita lawati tempat-tempat menarik selain makan pelbagai juadah tradisi sesebuah negara kan? Maka, sebelum atau selepas anda ke Thailand atau Langkawi, jangan lupa singgah merantau negeri Perlis ini!

Apa aktiviti yang anda boleh buat di Perlis untuk satu hari?

1. Taman Rekreasi Tasik Melati

tempat menarik perlis
Sumber: Hiveminer

Tasik buatan ini sangat sesuai dilawati pada waktu petang untuk menikmati keindahan yang memiliki lebih 150 pulau-pulau kecil di sekitar tasik itu. Lokasinya kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kangar.

Pengunjung boleh mengelilingi pulau-pulau kecil sekitar tasik dengan menaiki paddle boat, berserta bayaran yang amat berpatutan.

2. Tasik Timah Tasoh

tempat menarik Perlis
Sumber: Malaysia Visa

Selain ke Padang Besar yang mana merupakan syurga barangan murah di Malaysia, Padang Besar juga memiliki sebuah tasik buatan manusia berlatar belakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand.

Tasik ini merupakan empangan saliran terbesar Perlis yang menjadi destinasi ideal bagi anda yang cintakan alam semula jadi. Selain disajikan pemandangan menarik, anda juga dapat menikmati buah-buahan percuma apabila tiba musimnya jika menginap di Tasoh Lake Resort & Retreat.

Satu lagi tarikan di sini, bagi anda yang sukakan seni fotografi, ini peluang terbaik untuk anda lakukan aktiviti mencerap bintang kerana lokasi ini juga merupakan salah satu lokasi strategik di Malaysia untuk mendapatkan gambar Bima Sakti yang terbaik.

3. Bukit Keteri

tempat menarik Perlis
Sumber: Malaysia Resorts

Bagi pelancong yang gemar dengan aktiviti sukan lasak, Bukit Keteri ialah lokasi terbaik untuk aktiviti rock climbing. Bukit daripada pembentukan batu kapur ini dikelilingi sawah padi menghijau yang mempesonakan.

Pendaki memperoleh ganjaran yang sangat bermakna di puncak dengan panorama pemandangan tanah rata di sekeliling kawasan Bukit Keteri lebih-lebih lagi jika mendaki di sebelah petang untuk melihat matahari terbenam.

4. Pasar Terapung Pengkalan Tok Kuning

tempat menarik perlis
Sumber: Malaysia Aktif

Selain Pasar Wang Kelian, Perlis juga memperkenalkan satu tarikan pelancongan terbaharu iaitu Pasar Terapung Pengkalan Tok Kuning yang mana konsep pasar terapung ini sama seperti di Kelantan dan Pasar Terapung Klong Hae di Hatyai.

Pasar ini beroperasi dua kali sebulan bermula pukul 5 petang hingga 10 malam. Pelbagai juadah makanan Perlis dan buah-buahan tempatan serta pelbagai jenis ikan dijual di pasar ini dengan harga istimewa.

Suhu yang sejuk sedikit dan suasana lebih indah dengan cahaya lampu-lampu hiasan yang berwarna-warni terutama pada waktu malam menjanjikan pengalaman menarik pelancong dalam dan luar negara.

Negeri Perlis terkenal dengan destinasi pelancongan bertemakan alam semula jadi kerana kebanyakan tempat pelancongan di sini lebih kepada memberi pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna yang tidak banyak dimiliki oleh negeri lain.

Tentang makanan di negeri kecil ini, anda boleh baca Perlisissosmall Trending Di Twitter, Makanan Powernya Jangan Dilupa.

Sumber: Utusan