Ini Dua Cara Masak Lemang Tanpa Buluh, Rupa Dan Rasa Sama Dengan Original

Cara Masak Lemang Tanpa Buluh

Lemang tanpa buluh? Menjadi ke?

Lemang antara menu istimewa apabila tibanya musim perayaan bagi masyarakat Muslim di Malaysia. Ia berbentuk silinder dan teksturnya melekit seakan pulut tetapi berwarna putih berbanding pulut yang berwarna kuning.

Menurut pakar sejarah, lemang ialah perkataan yang digunakan tiga kaum iaitu Melayu, Minangkabau dan Batak yang membawa maksud sama iaitu beras pulut dimasak atau dipanggang dalam buluh serta dibalut di bahagian dalamnya menggunakan daun pisang.

Lemang selalunya dimakan bersama lauk sampingan bagi menambah selera seperti ayam masak merah, rendang, kuah kacang, lodeh, serunding dan pelbagai hidangan lagi.

Cara Masak Lemang Tanpa Buluh

Lemang boleh didapati dalam pelbagai jenis. Jika anda hanya pernah melihat satu jenis lemang, sebenarnya ada lagi lemang yang lain antaranya lemang buluh (lebih biasa yang kita makan), lemang periuk kera, lemang pulut hitam, lemang jagung dan lemang tepung.

Cara memasak lemang pula jika secara tradisional memang memerlukan tenaga dan masa yang banyak. Ia perlu dipantau setiap minit dan mengawal api supaya lemang masak sempurna keseluruhannya.

Memang enak memakan lemang yang dimasak daripada buluh tetapi tidak semua orang mampu membuatnya dan jika hendak membeli ada kekangan tertentu. Jadi, ada cara mudah untuk membuat lemang sendiri di rumah tetapi tidak menggunakan buluh.

Di sini kami kongsikan dua teknik memasak lemang sendiri tanpa menggunakan buluh iaitu menggunakan pengukus dan air fryer.

Bahan-bahan lemang:

1/2kg beras pulut dicuci dan toskan
600ml santan pekat
1 sudu teh garam
5-6 tin minuman/ cawan kertas
Daun pisang
Air secukupnya

Cara memasak:

1.Basuh beras pulut bersih dan rendam dalam 1 jam.
2. Kemudian basuh dan rendam dengan air santan dan garam dalam 30 minit.
3. Daun pisang simpan dalam tin (apa-apa tin buangkan atas bahagian buka)/ cawan kertas. *Jangan lupa lap daun pisang dahulu.
4. Isikan beras pulut dalam tin dan letak sedikit air sampai paras beras.

Cara Masak Lemang Tanpa Buluh

Jika guna pengukus:

– Kukus selama 50-60 minit atau hingga lemang masak. Selepas 30 minit mengukus, buka tudung periuk dan kacau sedikit pulut dengan garfu supaya santan menyerap sepenuhnya ke bahagian bawah.

Jika guna air fryer:

– Panaskan air fryer (AF) dalam 5 minit pada suhu 180 darjah celcius.
– Masukkan dalam AF beras pulut yang sudah siap dimasukkan dalam tin/ cawan kertas, guna suhu 180 darjah celcius untuk 30 minit.
– Apabila siap, jangan keluarkan dahulu, biarkan selama 30 minit dalam AF. Kemudian barulah hidangkan lemang tersebut.

Guntingkan tin/ cawan kertas dan buang. Potong lemang mengikut cita rasa, kemudian bolehlah makan dengan lauk sampingan kegemaran anda.

Selamat mencuba!

Sumber: Mang Tuppy Fan Kuching, Zulena Ismail