Ini Resipi Menjadi Sotong Goreng Tepung Rangup Tanpa Letup

Sotong Goreng Tepung Tanpa Letup
Sumber: Agrowindo

Buat penggemar makanan laut, menu sotong goreng tepung adalah menu wajib dicuba dan dirasai kerana kerangupan sotong yang disalut tepung bersama sos pencicah membangkitkan selera.

Ramai yang cuba memasak sotong goreng tepung ini tetapi hasilnya menghampakan kerana sering kali tidak jadi seperti diinginkan. Ditambah pula, perlu berhati-hati semasa menggoreng sotong agar tidak meletup sungguh melecehkan.

Kami ada resipi yang membantu masalah anda untuk elak sotong yang digoreng meletup dan kekal ranggup. Ikuti tip seperti berikut:

Sotong Goreng Tepung Tanpa Letup
Sumber: Eat. Crave. Love

Tip 1

Setelah siang sotong, basuh dan toskan sotong supaya air sotong keluar. Tumbuk 1 biji bawang putih dan salutkan bersama sotong tadi.

Tip 2

Kemudian masukkan 1 sudu cuka dan gaul rata (jangan masukkan cuka terlalu banyak, hanya sekadar untuk kecutkan sotong sahaja). Kaedah ini digunakan untuk mengeluarkan air sotong dengan lebih cepat.

Tip 3

Masukkan serbuk lada sulah, garam dan ratakan semua selama 10 minit.

Tip 4

Bahan untuk salutan pula, pecahkan 1 biji telur (tidak perlu pukul telur terlalu lama). Kemudian dimangkuk lain, masukkkan 5 sudu tepung serbaguna dan 5 sudu tepung jagung.

Tip 5

Celup perapan sotong ke dalam telur yang dipukul tadi dan kemudian terus ke dalam campuran tepung. Pastikan keseluruhan sotong disalut dengan sebati untuk mengelak sotong meletup semasa proses menggoreng.

Tip 6

Untuk proses menggoreng, pastikan minyak dalam kuantiti yang banyak dan betul-betul panas barulah masukkan satu persatu sotong yang disalut tadi serta pastikan jangan menggoreng sotong terlalu lama kerana dikhuatiri akan liat.

Sotong Goreng Tepung Tanpa Letup

Siap untuk dihidangkan bersama sos pencicah pilihan anda. Selamat mencuba!