Kesan Calar Hingga Merekah Papan Pemotong Boleh Jadi Punca Sakit Perut, Cirit-Birit

Papan Pemotong Calar Merekah

Papan pemotong calar hingga merekah boleh jadi punca sakit.

Papan pemotong merupakan perkakas dapur yang wajib ada bagi setiap rumah. Hampir kesemua daripada kita menggunakan papan yang sama bertahun lamanya sehingga tinggal kesan calar dan merekah untuk pelbagai tujuan.

Biasanya, bahan sayuran, daging dan makanan bermasak biasa dipotong di atas papan yang sama. Tetapi sebenarnya ia boleh menjadi punca kepada merebaknya bakteria tanpa kita sedar.

Papan pemotong yang jarang ditukar, diguna sehingga berkulat boleh menjadi punca ahli keluarga dalam rumah terkena sakit perut atau cirit-birit akibat keracunan makanan.

Seperti yang diterangkan seorang doktor di laman Facebooknya, Dr Ahmad Luqman Bukhari berkongsi sebab mengapa perlu kita tukar papan pemotong apabila sudah uzur.

Katanya, kesan calar dan merekah pada papan pemotong itu adalah antara tempat bakteria bahaya seperti E. Coli dan Salmonella berkumpul dan membiak.

“Ada satu kajian ini, pengkaji jumpa yang rupa-rupanya pada setiap 1cm persegi papan pemotong yang kotor dan penuh kesan rekahan, kat situ je dah mengandungi lebih daripada 24 ribu bakteria. Beratus kali ganda lebih banyak berbanding kuman kat tempat duduk tandas yang kita buang najis tu!” tulisnya.

Papan Pemotong Calar Merekah
Sumber: FB

Asingkan kegunaan papan pemotong

Dr Ahmad Luqman juga berpesan supaya asingkan papan pemotong untuk bahan mentah seperti ayam, ikan dan daging dengan papan pemotong untuk sayur dan buah.

Apabila kita menggunakan papan pemotong yang sama, risiko untuk kuman pada bahan mentah yang belum dimasak tadi berpindah pula melekat pada sayur atau buah yang hendak kita makan, justeru sangatlah tinggi dan boleh mengundang bahaya.

“Badan kita orang dewasa mungkinlah ada sistem imuniti yang kuat. Tapi kalau jangkitan tu terkena kat anak kecil kita, silap haribulan terpaksa duduk beberapa hari dekat wad di hospital sana.”

Bahaya sangat rupanya ya! Dah tahu ni, bolehlah periksa papan pemotong masing-masing dan buang jika sudah uzur sangat. Tak guna nak simpan lama-lama sebab sayang kalau ia boleh jadi punca kita sekeluarga sakit.

Sumber: Ahmad Luqman Bukhari