Kuching, Bandar Raya Pertama Diiktiraf Sebagai Bandar Kraf Dunia

Kuching Bandar Kraf Dunia
Sumber: Bernama

Menyumbang kepada Tahun Melawat Sarawak 2019, Negeri Bumi Kenyalang itu melakar sejarah apabila bandar raya Kuching diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia (WWC).

Lebih membanggakan, ia menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan berprestij terbaik dalam bidang kraf, seni dan budaya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah amat berbangga bahawa bandar raya Kuching akan bersama dalam kedudukan dengan bandar-bandar lain antarabangsa dan terkenal seperti Jaipur di India, Isfahan di Iran, Jogjakarta di Indonesia dan lebih 30 bandar lain di seluruh dunia memegang pengiktirafan global tersebut.

Susulan itu, kementerian akan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu pusat sehenti iaitu Pusat Kraf di Kuching. Buat masa ini, Sarawak hanya mempunyai satu pusat kraf tangan di Miri.

Kuching Bandar Kraf Dunia
Sumber: Sizepict.pw

Pusat Kraf yang bakal diwujudkan ini akan mempamerkan kraf atau hasil tangan daripada pengusaha tempatan selain menjadi pusat sehenti kepada pelancong yang datang menyaksikan pameran kraf terdiri daripada pelbagai etnik di Sarawak.

Tidak hairanlah Sarawak dipilih sebagai destinasi popular dengan keunikan kraf dan seni reka selain keunikan makanan Sarawak yang sukar ditemui di semenanjung.

Selain diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia, beberapa tarikan terbaharu di Sarawak yang perlu dikunjungi para pelancong. Antaranya, Masjid Terapung, air pancut berirama di tebing Sungai Sarawak dan Taman Marin Luconia Shoals di pantai Miri yang mempunyai terumbu karang cantik untuk peminat skuba.

Kuching Bandar Kraf Dunia

Jika melancong ke Kuching, anda boleh menaiki bas elektrik, Kuching Metro yang beroperasi secara percuma buat tiga bulan pertama. Aplikasi Kuching Metro turut tersedia bagi kemudahan pengguna iOS dan Android.

Sumber: Utusan Borneo