Lelaki Ini Dedahkan Kebenaran Mengenai Larangan Gabungan Makanan Laut Dan Darat

kebenaran makanan laut dan darat
Sumber: Prepared Foods

Ada satu hari itu emak ada tanya, boleh ke makan ayam dan ikan sama-sama? Baguskah untuk diet ini? Sebab emak ada dengar katanya tidak boleh campur makanan ini sekali gus.

Ikan jangan makan dengan daging.
Telur tidak boleh dengan ikan bilis.
Ayam jangan campur dengan ikan.
Dan seumpamanya.

kebenaran makanan laut dan darat

Pernahkah kalian dengar larangan agar tidak mencampurkan antara makanan laut dan darat? Dan kemudian ada juga sebahagian yang menisbahkan kepada baginda Nabi SAW.

Baik, sebelum ke arah hukum agama, saya suka untuk kita merujuk pada konteks kesihatan dahulu. Apakah ia benar-benar membawa implikasi atau tidak?

Secara umum, menggabungkan makanan ini tidaklah menganggu diet, menyebabkan kegemukan sekiranya kuantitinya masih terkawal dan olah kualiti pemakanan masih baik.

Meskipun begitu, ada sebahagian individu yang mungkin telah dicadangkan oleh doktor atau pakar dietetik untuk berbuat demikian hendaklah mengikuti cadangan mereka. Ini mungkin disebabkan masalah kesihatan mereka atau kondisi semasa.

Baik itu dari kesihatan. Apakah dalam Islam mempunyai larangan ini?

Setelah meneliti terhadap beberapa sumber kitab dan rujukan daripada para guru maka tidak ada satu pun larangan khusus untuk gabungkan makanan laut atau darat sekali gus.

Bahkan dalam nas hadis juga tidak ada nas yang menyebutkan larangan ini (bahkan hadis dhaif sekalipun) tidak ada. Oleh itu larangan ini tidak boleh menjadi sandaran kepada kita untuk Nabi SAW. Secara umum, makanan dan minuman hukum asalnya adalah halal. Apa yang telah Allah halalkan pasti bermanfaat dan tidak berbahaya.

Syaikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di rahimahullah berkata,

“Agama dibangun atas dasar berbagai kemashlahatan. Mendatangkan mashlahat dan menolak berbagai keburukan”.

Apa yang mungkin diuar-uarkan supaya tidak mencampurkan makanan darat dan laut secara serentak mungkin disebabkan adat dan budaya orang kita. Risau ia berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran.

Mungkin itulah tujuannya. Namun tidaklah sampai merosakkan diet, atau ditegah di dalam agama. Apa yang lebih jelas Nabi SAW ada bersabda berkenaan larangan makan berlebih-lebihan ini dengan hadis,

“Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya. Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.”

[Riwayat al-Tirmizi (2380)] (Hadis dinilai Hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi)

Jika kalian ingin menggunakan hadis dan sandarkan kepada Nabi SAW berkenaan larangan makan berlebih-lebihan, maka boleh gunakan hadis ini. Begitulah.

Akhir sekali. Tidak ada satu pun larangan makanan darat dan laut tidak boleh dimakan yang dinyatakan dalam Al-Quran mahupun Al-Hadis. Makanlah ikut keperluan badan. Tidak berlebih-lebihan dan yang penting tujuannya ibadah. Moga ia memurnikan pemikiran kita dan memperbetulkan jalan fikir kita. Harapnya.

*Artikel ini disiarkan dengan izin Arif Sukri. Beliau merupakan seorang penulis di ustazfitness.com dan juga sebagai jurulatih Bodyweight Fitness bertauliah di National Association for Strength and Conditioning Research (NASC). Anda boleh ikuti beliau di laman Facebook peribadinya di sini. Untuk makluman, artikel ini telah diubah suai mengikut format penulisan di MakanLena.