Lelaki Ini Kongsi Kisah Kota Paris Yang Indah Khabar Dari Rupa

kota Paris dari sudut berbeza
Sumber: FB Wazli Watisin

PARIS: Kota Cinta Yang Memperdaya

Kota Paris yang terkenal dengan menara Eiffel, kononnya lambang cinta dan romantik. Itu mungkin pendapat sesetengah orang, bagi aku itu hanyalah sebuah mitos. Realitinya kota Paris adalah kota penuh tipu daya.

Bagi aku kota Paris bukan tempat yang selamat, jauh sekali dengan istilah bersih. Paris sebenarnya dipenuhi sampah dan berbau hancing. Romantik tang mana pun aku tidak tahu, mungkin lain orang lain seleranya.

kota Paris dari sudut berbeza
Sumber: FB Wazli Watisin

Pengalaman aku bermusafir di kota Paris bukan sesuatu yang positif. Keluar sahaja dari Lapangan Terbang Ch De Gaulle, aku terus disajikan dengan bau hancing kencing manusia di merata-rata kawasan metro (keretapi). Aku juga dihidangkan dengan pemandangan longgokan sampah sarap sepanjang menaiki metro selama beberapa hari di Paris.

Lagi sadis, aku dicopet di kota ini. Penyeluk saku di kota ini diiktiraf di antara terbaik dunia. Aku tidak bersedia sampai tahap dunia masa itu, kerana aku juga pernah sampai di kawasan timur Eropah yang dianggap jenayah tertinggi. Tiada pula aku mengalami peristiwa ngeri. Alhamdulillah kerana hatiku tergerak untuk membuat insuran dengan semua yang aku bawa.

kota Paris dari sudut berbeza
Sumber: FB Wazli Watisin

Pada rakan-rakan yang ingin mengembara, belilah insuran sebagai penyejuk hati yang lara jika ada apa-apa yang berlaku diluar jangkaan.

Yang lebih sadis, kita tidak akan nampak seorang polis pun di tempat-tempat jenayah ni. Penyeluk saku boleh minum kopi selepas menyeluk. Tak perlu tenaga untuk melarikan diri. Lagi satu, pengalaman aku berurusan dengan balai polis sini macam berurusan dengan negara ketiga. Memang sangat sadis, polis terima report masa waktu pejabat sahaja.

Kepala berjambul betul, ingat jenayah berlaku waktu pejabat sahaja ke?

Jangan cerita hendak membuat laporan dululah, hendak masuk ke kaunter balai pun sesusah menembusi kubu Hitler. Berlapis-lapis jeriji besi yang perlu dilalui, dan kau akan menempuhi soal siasat melalui interkom dalam bahasa yang sangat sukar difahami. Sejam baru tembus kaunter lah kawan, itu pun kalau tembuslah. Masa inilah aku sangat bersyukur hidup di Malaysia, terima kasih sahabat-sahabat polis kita.

Kota Paris ini dipenuhi dengan orang Gipsy yang menyamar kononnya orang Syiria. Kalimah syahadah pun tidak tahu. Muka macam mat saleh juga, tetapi ada air muka ala-ala Viking. Mereka buat pelbagai cara penipuan, target utama adalah pelancong.

Rusuhan di sini juga kerap berlaku, terutamanya hujung minggu. Mereka suka bakar-bakar. Semua benda mahu dibakar, terutamanya kereta polis. Nasib kami baik, selepas melawat tugu, terus berlaku rusuhan yang sangat teruk. Habis semuanya dibakar.

Kalau tiada hal mustahak, maaflah. Kota Paris bukan pilihanku lagi. Biarlah Malaysia ‘mundur’ kalau inilah cerminan negara ‘maju’. Banyak lagi kota negara Eropah yang cantik dan selamat selain Paris.

Insya-Allah akan aku kongsikan catatan aku mengembara di 7 negara secara backpacker. Manalah tahu boleh dijadikan rujukan kawan-kawan yang ingin mengembara backpacker. Backpack sebenarnya mengajar kita erti tawakal.

Jauh-jauh merantau, kau akan lebih bersyukur menjadi anak Malaysia. Negaraku tercinta.

Nota:

Bagi rakan-rakan yang ingin menggunakan Metro di sekitar Paris atau mana-mana negara Eropah, sila bawa beg yang ada dua zip dan boleh dikunci. Beli sahaja mangga kunci kedai RM2.

Elakkan masuk dalam train yang penuh, bersabar. Biar pun tunggu lama, sabar itu indah. Gelojoh biasa membawa padah. Insya-Allah selamat. Selepas buat macam tu, penyeluk saku gagal menyeluk kami. Sentiasa berwaspada semasa mengambil gambar, jangan sesekali minta tolong ambil gambar. Gambar ke mana, kamera ke mana nanti.

Modus operandi geng-geng penyeluk saku di kota Paris aku telah perhatikan. Mereka akan bertenggek di kawasan yang ramai pelancong, mereka buat kerja masa puncak. Masa semua sibuk nak balik, tren penuh dan masa ramai di kawasan pelancong. Contohnya,  Eiffel Tower.

kota Paris dari sudut berbeza
Sumber: FB Wazli Watisin

Mereka tidak buat kerja seorang diri tetapi secara berjemaah. Mereka akan himpit kita, kalau dalam tren. Malaun ini himpit kita sampai kita hilang tempat berpaut. Nanti akan ada yang buat-buat tolong ambil tangan kita, konon supaya kita tidak jatuh. Masa itu, sudah pasti kawan lain sudah seluk tanpa sedar. Malaun ini target masa kita membeli tiket tren sebenarnya. Mereka sasar mana kita letak duit.

Kalau kawasan luar tren, akan ada sekumpulan remaja yang sangat riang, buat-buat gelak. Kumpulan ni akan buat-buat tidak nampak kita dan langgar kita. Dua tiga orang akan buat-buat minta maaf dan bangunkan kita. Percayalah, masa ini duit kita mesti sudah lesap.

Elakkan semua perkara di atas, anggap sahaja kita macam sedia hendak berperang kalau pergi Paris.

* Artikel ini disiarkan dengan izin Wazli Watisin. Anda boleh ikuti beliau di laman Facebook milik peribadinya di sini. Untuk makluman, artikel ini telah diubah suai mengikut format penulisan di MakanLena.