Makmal Kualiti Banteras Lambakan Madu Tiruan

Makmal Madu Uji Keaslian
Sumber: Bramble Berry

Kerajaan negeri Terengganu telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM420,000 bagi menubuhkan Makmal Kualiti Madu yang pertama di Pantai Timur untuk pembelian peralatan makmal yang dijangka akan memulakan operasi sepenuhnya pada 2019. Makmal yang berlokasi di Universiti Malaysia Terengganu ini dibina dengan melihat kepada masalah lambakan madu tiruan yang berada di pasaran kini.

Kos perkhidmatan pensijilan yang ditawarkan di makmal ini lebih murah kerana mendapat subsidi kerajaan berbanding syarikat swasta dengan peratusan perbezaan sebanyak 25%. Penternak lebah kelulut yang berdaftar boleh mendapatkan sijil pengesahan keaslian madu mereka supaya pelanggan dapat mengelak daripada membeli madu tiruan dan ditipu oleh peniaga.

Inisiatif ini diambil apabila pihak Penyelidik Lebah dan Kelulut mendapat banyak laporan mengenai aktiviti penjualan madu yang dicampurkan dengan air gula oleh segelintir penternak yang membahayakan kesihatan pengguna. Bukan itu sahaja, perbuatan tidak bertanggungjawab ini turut menjejaskan perniagaan mereka yang jujur dalam menjual madu asli.

Makmal Madu Uji Keaslian
Sumber: Nota Tercicir

Antara cara lain bagi mengesan keaslian madu ialah dengan melihat kepada bentuk fizikalnya. Menurut Nik Abdul Jabbar anak kepada pemilik Pak Nik Madu Enterprise, warna madu asli akan berubah menjadi semakin gelap selepas sebulan disimpan selain munculnya buih (bee pollen) dalam jangka masa 2 minggu.

Selain itu, jika madu asli dicampurkan air mineral akan menjadi keruh berbeza dengan madu tiruan yang menyebabkan larutan air menjadi jernih. Cara ini lebih mudah dan cepat untuk mengelakkan kekeliruan mengenai keaslian madu yang dijual.

Diharapkan dengan tertubuhnya makmal ini, kegiatan penjualan madu tiruan secara berleluasa ini dapat dibanteras. Apa kata anda mengenai isu ini?

Sumber: Astro Awani